Points dropped and Selangor's stuttering Malaysia Cup campaign continues [ 8m ago ]

Ahli majlis PBT dipecat jika terima projek pembangunan untuk kepentingan peribadi - Jaujan

Tarikh kemaskini: 18/07/2019
KOTA KINABALU, 18 Julai (Bernama) -- Semua ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah bakal berdepan tindakan tegas termasuk dipecat serta merta dalam tempoh 24 jam sekiranya didapati menerima kontrak atau projek pembangunan untuk kepentingan peribadi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata, ahli majlis PBT tidak boleh menerima mahupun terlibat dalam kontrak atau projek pembangunan membawa keuntungan peribadi kerana ia jelas melanggar disiplin serta peraturan ditetapkan Kerajaan Negeri.

Jaujan, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, turut menegaskan bahawa ahli majlis PBT di negeri ini seharusnya memainkan peranan melaksanakan perancangan pembangunan strategik demi kebaikan serta kesejahteraan penduduk setempat dan bukan pula sebaliknya.

“Ahli majlis PBT perlu mematuhi etika dan prosedur operasi standard ditetapkan supaya mereka tidak sesuka hati melanggar peraturan sehingga terjebak dalam penyalahgunaan kuasa.

“Kita akan mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan terhadap mana-mana ahli majlis PBT didapati berbuat demikian (mendapat kontrak projek pembangunan) dalam tempoh 24 jam sekiranya ada laporan diterima,” katanya kepada pemberita selepas menutup seminar peranan dan tanggungjawab ahli majlis PBT Sabah di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Jaujan ketika diminta mengulas penambahan 13 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkata, langkah itu akan mampu mempercepat lagi pelaksanaan pembangunan demi kepentingan rakyat, apatah lagi Sabah adalah sebuah negeri besar yang memerlukan lebih ramai pemimpin memainkan peranan membantu sekali gus membela nasib rakyat terutama di pedalaman.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang Undang bagi menambah jumlah kerusi DUN di Sabah selepas mendapat sokongan semua 158 ahli Parlimen yang hadir di Dewan termasuk penggubal undang-undang dari Sabah.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu