EKONOMI

MATRADE, ITFC meterai MoU lonjakkan kerjasama perdagangan antara negara OIC

18/07/2019 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mahu meningkatkan kerjasama perdagangan antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi Kerjasama Kewangan Perdagangan Islam Antarabangsa (ITFC).

MATRADE hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ITFC, anggota kumpulan Bank Pembangunan Islam yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi, untuk mencapai matlamat tersebut.

Berdasarkan MoU itu, mereka akan bekerjasama dalam program pemudahan penggalakkan perdagangan dan projek khusus, pertukaran maklumat perdagangan dan lawatan delegasi perniagaaan, pengenalpastian peluang projek untuk firma Malaysia serta promosi perdagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata inisiatif itu merupakan kesambungan daripada usaha memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara OIC selepas membentuk perkongsian dengan Bank Pembangunan Islam bagi program yang dikenali sebagai ‘Reserve Linkage’ awal bulan ini.

Beliau berkata perkongsian itu bertujuan mewujudkan peluang perniagaan bagi pengeksport Malaysia dan sebagai pemangkin dalam usaha mengadakan lebih banyak akses pasaran untuk syarikat tempatan ke 57 negara anggota OIC.

“Sebagai anggota OIC, Malaysia berharap dapat menjadi antara negara teratas yang mencatatkan peningkatan perdagangan dengan rakan dagang kami dalam OIC,” katanya kepada pemberita selepas majlis penandatanganan MoU itu di sini, hari ini.

Wan Latiff berkata OIC memiliki gabungan saiz pasaran dengan 1.8 bilion penduduk dan terdapat banyak peluang yang masih belum diteroka seperti dalam bidang agroteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, e-dagangan, tenaga boleh baharu, infrastruktur serta minyak dan gas.

MoU ini merupakan kerjasama kedua yang ditandatangani antara MATRADE dan ITFC sejak 2009.

CEO ITFC, Hani Salem Sonbol berkata MoU baharu itu akan memanfaatkan banyak kelebihan Malaysia dalam bidang penting seperti ekonomi digital selain mewujudkan peluang strategik untuk syarikat Malaysia meningkatkan perdagangan dengan negara anggota OIC.

ITFC menyediakan pembiayaan perdagangan berjumlah US$325 juta (US$1=RM4.11) kepada tujuh syarikat Malaysia sejak 10 tahun lepas.

Prestasi perdagangan Malaysia dengan negara OIC berkembang 22.6 peratus dalam tempoh lima tahun lepas, daripada RM149.79 bilion pada 2014 kepada RM183.71 bilion pada 2018.

Eksport utama Malaysia ke negara anggota OIC adalah minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, produk petroleum, kimia serta produk kimia.

Rakan dagang utama Malaysia daripada OIC termasuk Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Turki dan Bangladesh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan