AM

Agong berlepas pulang selepas lawatan khas yang berjaya di Arab Saudi

15/07/2019 12:22 PM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

JEDDAH, 15 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlepas pulang ke tanah air selepas melakukan lawatan khas tiga hari dengan jayanya di Arab Saudi.

Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut oleh Gabenor Jeddah Putera Mishaal bin Majed bin AbdulAziz di Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di sini sebelum meneruskan perjumpaan ringkas dan berlepas dengan menaiki sebuah pesawat khas pada pukul 8,00 pagi waktu tempatan, Ahad (1.00 pagi waktu Malaysia hari ini, Isnin).

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda dalam pesawat itu ialah anakanda Baginda, Tengku Amir Nasser, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram.

Terdahulu pada Ahad, semasa pertemuan dengan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Sultan Abdullah antara lain menyatakan terima kasih dan berpuas hati dengan lawatan berkenaan.

Lawatan sulung Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah atas jemputan Raja Salman sendiri dilihat meningkatkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin sejak 1957.

Sultan Abdullah bersama rombongan tiba di Arab Saudi pada Jumaat untuk lawatan khas tiga hari.

Jadual lawatan Seri Paduka Baginda bermula dengan ketibaan Baginda di Madinah, di mana Sultan Abdullah melawat makam Nabi Muhammad  S.A.W di Masjid Nabawi dan mengerjakan solah Jumaat sebelum berlepas ke Jeddah pada Sabtu dan mengerjakan Umrah di Makkah pada hari yang sama.

Sementara itu, Saifuddin ketika diminta mengulas mengenai lawatan itu sebelum berlepas pulang bersama Seri Paduka Baginda berkata, tujuan utama lawatan itu ialah bagi mengadakan perjumpaan dengan Raja Salman, yang dilakukan hari ini.

"Dalam pertemuan itu, Agong mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang telah memberikan kita begitu banyak keistimewaan, dari segi kuota haji dan Malaysia adalah negara pertama dipilih Arab Saudi menggunakan ‘e-clearance’ yang bermula sejak  2017.

"Ini pertemuan yang sangat simbolik yang meningkatkan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan