POLITIK

Abang Johari tiada halangan menerima Dr Jerip

12/07/2019 03:44 PM

KUCHING, 12 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kekal tidak menghalang jika Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebagai tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menerima Datuk Dr Jerip Susil, yang bebas daripada mana-mana parti.

Dr Jerip mengumumkan secara tiba-tiba perletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) semalam, dengan berkata beliau membuat keputusan itu selepas berunding dengan orang ramai dan penyokongnya di kawasan dewan undangan negeri Mambong.

”Satu satu dahulu… hanya tengah hari semalam saya mendapat kenyataan itu (mengenai Dr Jerip keluar PSB) dalam grup WhatsApp kami dalam media sosial,” Abang Johari, yang juga pengerusi GPS dan presiden PBB, memberitahu pemberita selepas merasmikan Festival Mind & STEM 2019 di sini, hari ini.

Disoal lanjut oleh media bahawa penyokong Dr Jerip mahu beliau menyertai PBB terutama bagi membolehkan rakyat mendapat faedah daripada kerajaan GPS di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), katanya: “Kami lihat bagaimana perkembangannya”.

Meskipun PSB bukannya sebuah parti komponen GPS, Dr Jerip adalah ahli pentadbiran neger ini sebagai Menteri Muda Pengangkutan Sarawak.

Pada masa kini, di bawah GPS terdapat empat parti asas di Sarawak iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu  Sarawak (SUPP), dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sementara itu, Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, pintu parti sentiasa terbuka bagi Dr Jerip dan anggota lain yang dipilih dari PSB.

“Kami sentiasa menyambut baik mereka kembali dan bagi perpaduan Sarawak, kami memerlukan semua orang untuk bersatu,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Dr Sim, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri berkata, tiada syarat ditetapkan bagi menerima Dr Jerip sekiranya beliau membuat keputusan untuk menyertai semula SUPP.

Pada 2001, Dr Jerip, seorang doktor perubatan secara profesyen menyertai SUPP dan memenangi kerusi DUN Bengoh (kini dikenali sebagai Mambong) dan beliau pertahankannya pada 2006 dan sekali lagi pada 2011.

Pada pilihan raya negeri 2016, beliau mengekalkan kerusi itu di bawah tiket Parti Rakyat Bersatu (UPP) sebelum dijenamai semula sebagai PSB awal tahun ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan