KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Cubaan dua lelaki menyeludup dadah disyaki jenis syabu gagal apabila polis menemui sejumlah dadah yang disorokkan dalam tapak kasut salah seorang suspek.
Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ACP Zulkifli Adamsah berkata dua lelaki berusia 27 dan 38 tahun itu ditahan di kawasan pemeriksaan Mesin Pengimbas Kastam Aras 3, Pelepasan Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada awal pagi, 6 Julai lepas.
Beliau berkata pemeriksaan dilakukan anggota polis daripada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) KLIA selepas mendapati kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan, dan hasilnya polis menemui menemui 1.05 kilogram dadah, yang ditimbang bersama dengan kasut kerana dadah disorokkan dalam tapak kasut tanpa dibaluti plastik.
“Dadah ditemui dalam kedua-dua tapak kasut yang dimiliki suspek berusia 38 tahun manakala pemeriksaan ke atas suspek kedua tidak menemui apa-apa barang salah, dan dia ditahan kerana ada hubungan dengan suspek pertama.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek akan menaiki penerbangan ke Busan, Korea Selatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, kedua-dua lelaki warga tempatan itu ditahan reman tujuh hari sehingga esok (Jumaat) dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial