Malaysia terus dirundung malang, dibelasah New Zealand 0-6 [ 8h ago ]

Langkah Johor kekal had umur belia dibimbangi beri kesan kepada gerakan belia

Tarikh kemaskini: 11/07/2019
MUAR, 11 Julai (Bernama) -- Langkah Kerajaan Negeri Johor yang mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun dibimbangi memberi kesan kepada gerakan belia negeri ini pada masa akan datang.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata antara kesan itu termasuk bantuan-bantuan untuk gerakan belia oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri mungkin tidak diterima golongan berkenaan.

"Saya bimbang kalau Johor tidak ikut cara macam itu (menerima pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat), bantuan-bantuan gerakan belia mungkin tidak sampai.

"Jadi, saya harap Johor terlibat bersama-sama," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis meraikan bakal haji dan hajah peringkat Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, di Pagoh, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata pindaan had umur tersebut memberi pengiktirafan kepada anak-anak muda untuk melakukan gerak kerja orang muda di seluruh negara.

Menurut Muhyiddin, beliau berpandangan umur 30 tahun sudah cukup dewasa pada zaman ini malah had umur 15 hingga 30 tahun juga memang diguna pakai di peringkat antarabangsa.

"Kalau pusat sudah lulus undang-undang begitu, elok juga negeri di bawah Pakatan Harapan ikut sama, tak ada lah percanggahan.

"Saya bukan Menteri Belia dan Sukan tetapi saya lihat perspektif ini, saya fikir ada penting supaya apa sahaja keputusan dibuat oleh parlimen, elok kita patuh," katanya.

Dua hari lepas, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata kerajaan negeri Johor mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun, sehingga pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 diwartakan pada 2021.

Pada 3 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu