NAFAS akan tingkatkan pengeluaran baja di Lahad Datu [ 12m ago ]

Pindaan perlembagaan dibentang di Dewan Rakyat

Tarikh kemaskini: 11/07/2019
Parlimen
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentang semula bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, sehari selepas ia ditarik balik.

Ia dibentangkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq berkata bacaan kali kedua dan ketiga RUU itu akan dibuat pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat kali ini yang bersidang sehingga 18 Julai ini.

RUU itu bercadang meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Ia juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan ini akan membenarkan lebih ramai warganegara Malaysia mengundi.

Selain itu, RUU itu bercadang meminda takrif ‘tarikh kelayakan’ dalam perenggan (b) Fasal (4) Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk memberikannya maksud sebagai tarikh seseorang didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemilih dalam pilihan raya.

Dengan pindaan ini, apabila seorang warganegara mencapai umur 18 tahun dan layak untuk mengundi, dia akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Dalam pada itu, cadangan pindaan turut melibatkan Seksyen 5 Jadual Kelapan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu akan melibatkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan yang amaunnya belum dapat ditentukan sekarang ini.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu