EKONOMI

MATRADE: Pertunjukan Udara Paris beri galakan kepada industri aeroangkasa Malaysia

06/07/2019 04:06 PM

Oleh Manik Mehta

FRANKFURT, 6 Julai (Bernama) --  Penyertaan Malaysia pada Pertunjukan Udara Paris baru-baru ini memberi galakan kukuh kepada industri aeroangkasa negara, berdasarkan jumlah perjumpaan perniagaan kepada perniagaan dan nilai perniagaan yang dijangka hasil daripada perjumpaan itu, kata Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Negara (MATRADE) Badrul Hilal Hisham.

“Berdasarkan maklum balas yang kami terima, terdapat 284 perjumpaan perniagaan diaturkan oleh MATRADE yang berpotensi membawa nilai perniagaan sebanyak RM700 juta,” katanya kepada Bernama.

“Program itu disertai 12 syarikat aeroangkasa Malaysia,” kata Badrul Hilal yang berpangkalan di Frankfurt dan terlibat dalam penyertaan Malaysia pada Pertunjukan Udara Paris

Sebahagian nama besar dalam industri aeroangkasa Malaysia seperti Composites Technology Research Malaysia (CTRM), UMW Aerospace Sdn Bhd, Jecmetal Industries Sdn Bhd, Sapura Aerospace Technologies Sdn Bhd dan Curge Advance Sdn Bhd mempamerkan perkhidmatan dan produk mereka, termasuk bahan komposit, bahagian dan komponen, perkhidmatan reka bentuk kejuruteraan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, dan juga aplikasi satelit.

Karajaan Malaysia percaya aeroangkasa boleh berperanan sebagai pencetus perubahan yang boleh mendapat tempat dalam peta dunia berteknologi tinggi.

MATRADE telah mengetengahkan strategi untuk memberi dorongan yang kuat kepada industri aeroangkasa negara dengan menggalakkan syarikat-syarikat untuk mempamerkan kekuatan mereka di pertunjukkan antarabangsa yang berprestij seperti di Paris, dengan pembekal Tier-1 dan Tier-2 terkemuka di dunia hadir, selain pengeluar peralatan asli (OEM) dalam aeroangkasa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE Datuk Wan Latiff Wan Musa memberitahu penulis bahawa aeroangkasa boleh menambah imej antarabangsa Malaysia sebagai pembekal perkhidmatan dan produk yang sangat canggih.

“Jangan lupa bahawa aeroangkasa juga berpotensi untuk mewujudkan pekerjaan dan menyediakan punca pendapatan kepada rakyat Malaysia, selain meningkatkan eksport kami. Dengan menyokong industri seperti aeroangkasa, Malaysia juga menyumbang dalam analisis terakhir untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan menawarkan peluang pekerjaan yang baik,” kata Wan Latiff dan menambah dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah hab penerbangan.

Beliau berkata syarikat-syarikat Malaysia dapat memenuhi tuntutan OEM yang ketat, oleh itu ia menjadi penghubung yang bernilai dalam rantaian bekalan global.

MATRADE berkata, eksport Malaysia untuk komponen dan bahagian aeroangkasa pada 2018 meningkat 20.7 peratus kepada RM8.48 bilion, pasaran utama ialah Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Perancis, China dan Singapura.

Dalam tempoh yang sama import meningkat sehingga 26.2 peratus kepada RM15.91 bilion, terutama dari Perancis, AS, Belanda, China dan Singapura.

“Juga, pertimbangkan manfaat ekonomi...pada 2018, aeroangkasa menjana hasil keseluruhannya berjumlah RM13.3 bilion, 48 peratus datangnya daripada pengilangan aeroangkasa dan 40 peratus daripada kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya.

Lima komponen utama sektor aeroangkasa ialah pengilangan bahagian/komponen, segmen MRO, sistem integrasi, reka bentuk kejuruteraan dan pembangunan sumber manusia, katanya.

Sementara itu, Malaysia, menghasilkan bahagian yang rumit untuk sayap pesawat, kipas, casis enjin dan bahagian badan pesawat yang dibuat daripada bahan komposit, aluminium, titanum dan lain-lain.

SPIRIT Aerosystems yang berpangkalan di Subang merupakan antara pembekal Tier-1 struktur pesawat, namun bekalan agak sedikit untuk pengeluar pesawat besar seperti Airbus dan Boeing sebagai pembekal Tier-2, oleh itu menjadikan mereka sebagai ‘pembekal asal’ untuk digunakan jargon industri.

Dasar nasional Malaysia juga disesuaikan untuk menarik pelaburan langsung asing dalam sektor aeroangkasa. Syarikat atau anak syarikat milik atau yang berkaitan dengan Airbus atau Boeing menubuhkan pangkalan di Malaysia.

Rolls Royce, syarikat pembuat enjin untuk pesawat telah memeterai perjanjian bekalan untuk jangka panjang dengan UMW Aerospace manakala General Electric juga bekerja dalam sektor MRO berdekatan Subang.

Sementara itu, CEO CTRM Shamsuddin Mohd Yusof dalam temu bual dengan Bernama berkata walaupun persaingan sengit, Malaysia menawarkan beberapa kelebihan kepada syarikat aeroangkasa terutama lokasinya yang strategik di Asia Tenggara.

Ibu pejabat CTRM, di Shah Alam, Selangor, ialah pengilang aerostruktur komposit terkemuka.

“Kunci untuk berjaya ialah membangunkan kaedah inovatif untuk pembuatan komposit. Kami memberikan sepenuh perhatian dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi. Tahap Kesediaan Teknikal kami dianggap tinggi oleh industri,” kata Shamsuddin.

Beliau berkata  teknologi bahan komposit maju merupakan teknologi kritikal untuk dibangunkan. “Matlamat kami adalah untuk memimpin dalam membangunkan industri komposit maju di Malaysia dengan pembangunan manusia, keupayaan dan produk.

Shamsuddin berkata beliau menekankan pentingnya inovasi untuk mengekalkan kedudukan CTRM yang kukuh.”...apa yang telah kami lakukan ialah menaikkan syarikat kami dan berkongsi dengan syarikat-syarikat di Malaysia. Malah, Airbus mengiktiraf syarikat kami sebagai syarikat penyedia perkhidmatan terbaik pada 2018, "katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan