KLANG, 3 Julai (Bernama) -- Pelabuhan Klang bakal memperkenalkan Cargomove System dan Linkhaul System bagi memudahkan syarikat penghantaran mengetahui waktu masuk dan keluar kargo.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata dengan pengenalan sistem berkenaan, pihaknya percaya kesesakan jalan raya berikutan lambakan lori kontena di daerah ini akan dapat dikurangkan sehingga 20 peratus.
"Berdasarkan kajian, untuk sehari sebanyak 8,000 lori kontena berada di jalan raya kerana mengambil dan menghantar barangan ke dua pelabuhan di Pelabuhan Klang, iaitu Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat.
"Dengan pengenalan sistem ini jumlah lori kontena keluar masuk ke pelabuhan dapat dikurangkan kerana sistem ini sudah memaparkan waktu kontena mereka tiba dan perlu diambil.
"Jika sebelum ini lori kontena perlu melakukan dua perjalanan keluar masuk, bersamaan dengan empat perjalanan, dengan sistem ini mereka hanya perlu lakukan satu perjalanan sahaja kerana mereka sudah tahu waktu untuk mengambil dan menurunkan kontena mereka," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan sistem berkenaan di majlis Aidilfitri anjuran Lembaga Pelabuhan Klang dan Zon Bebas Pelabuhan Klang.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Ean Yong Hian Wah.
Tambah Anthony, sistem berkenaan sekiranya berkesan di Pelabuhan Klang ia akan diperluaskan ke semua pelabuhan di seluruh negara.
Sementara itu dalam sidang akhbar yang sama, beliau juga memberitahu Pelabuhan Klang mencatatkan peningkatan dalam pengendalian kontena sebanyak 6.6 juta TEU (bersamaan unit 20 kaki) bagi enam bulan pertama tahun ini berbanding 4.9 juta TEU bagi tempoh yang sama tahun lepas.
"Kerajaan menyasarkan Pelabuhan Klang melalui dua pelabuhan akan mengendalikan sebanyak 12.85 juta TEU dan melihat kepada jumlah lima bulan pertama ini kami optimis angka yang disasar akan dapat dicapai," katanya.
Katanya peningkatan jumlah berkenaan adalah usaha kerajaan dalam meyakinkan syarikat perkapalan antarabangsa agar mengekalkan operasi mereka di negara ini.
"Awal 2018 banyak syarikat perkapalan antarabangsa melakukan penggabungan antara mereka dan memindahkan operasi ke Singapura, dan kerajaan telah melakukan beberapa usaha bagi memujuk syarikat ini untuk mengekalkan operasi mereka di sini.
"...dan hasilnya kita dapat lihat peningkatan jumlah kontena yang dikendalikan, kini Pelabuhan Klang merupakan pelabuhan ke-12 tersibuk di dunia dan kami bercadang untuk berada di kedudukan ke-10 tersibuk di dunia," katanya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial