GEORGE TOWN, 2 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang dijangka akan memiliki satu lagi mercu tanda baru dengan siapnya bangunan Galeri Seni Lin Xiang Xiong setinggi tujuh tingkat yang seni binanya direka seakan-akan menyerupai bentuk penyu, pada tahun 2022 nanti.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pelaksanaan projek yang dibangunkan khusus untuk menjadi jambatan penghubung kepada usaha memupuk lebih banyak kolaborasi seni dalam kalangan komuniti di seluruh dunia itu sedang berjalan lancar, dan ia dijangka siap mengikut jadual.
"Apabila siap, ia akan menarik kunjungan ramai pelancong, khususnya daripada kalangan penggemar seni dari serata dunia, sekaliguskan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hub seni dan budaya,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Terdahulu Chow bersama dengan Presiden Space Arts and Culture (M) Sdn Bhd Professor Lin Xiang Xiong, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Bhd Datuk Soam Heng Choon, Kurator kepada Koleksi Hasil Seni UNESCO Dr Tania Fernandez de Toledo dan Presiden Kehormat Global Chinese Arts and Culture Society Dr Liu Thai Kher, menghadiri majlis pecah tanah di tapak projek berhampiran The Light Waterfront Penang, di Gelugor, di sini.
Sebelum ini media melaporkan galeri dengan keluasan 8,176 meter persegi yang dibina di atas kawasan seluas 0.36 hektar itu, akan turut menempatkan pusat pendidikan Unesco di tingkat bawah dan juga ruang untuk pameran hasil seni dari serata dunia.
Projek ini menampilkan kerjasama antara artis ternama Lin Xiang Xiong dan IJM’s Jelutong Development Sdn Bhd.
Sementara itu Chow yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Padang Kota berkata kerajaan negeri menjangka kunjungan pelancong tempatan akan naik secara mendadak tidak lama lagi selaras dengan pelancaran penerbangan sulung Melaka-Pulau Pinang oleh syarikat AirAsia semalam.
Beliau berkata penerbangan terus antara dua negeri itu akan menyingkatkan masa perjalanan, sekaligus memberikan lebih banyak masa kepada pelancong untuk menjelajah dan melawat pelbagai panorama yang ditawarkan oleh dua bandar raya yang mendapat pengiktirafan Unesco.
"Saya benar-benar yakin penerbangan terus ini akan membawa berita positif kepada sektor pelancongan kedua-dua negeri. Dua-dua negeri ini mempunyai banyak persmaan, antaranya kedua-duanya disenaraikan oleh Unesco sebagai Tapak Warisan Dunia,” katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan