AM

Persatuan teksi serah memo kepada PM

19/06/2019 05:05 PM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM) hari ini menghantar memorandum dengan 18 tuntutan, memohon keprihatinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelesaikan kemelut yang melanda industri teksi.

Yang Dipertua GTSM Kamarudin Mohd Hussain menyerahkan memorandum “Tuntutan Hak Kesamarataan Yang Benar-benar Adil Di Dalam Industri Teksi dan Lain-lain Isu Berkaitan Industri Teksi Negara” kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya, di hadapan kira-kira 2,000 pemandu teksi yang berhimpun di perkarangan Perdana Putra di sini.

Kamarudin mahu isu kesamarataan diselesaikan, dengan memberikan contoh di mana teksi dikehendaki menjalani pemeriksaan Puspakom seawal tahun pertama untuk keselamatan, tetapi perkhidmatan e-hailing diberi pengecualian iaitu kenderaan yang berusia tiga tahun ke bawah tidak perlu ke Puspakom.

Rombongan GTSM kemudiannya bergerak ke Kementerian Pengangkutan untuk menyerahkan memorandum yang sama kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang mewakilkan Setiausaha Politiknya Datuk Mohamad Dahlan Maamor untuk menerimanya.

Bagaimanapun, Kamarudin enggan menyerahkan memorandum itu setelah Mohamad Dahlan menetapkan syarat penyerahan perlu dibuat dalam premis kementerian sedangkan Kamarudin mahu menyerahkannya di hadapan pemandu teksi yang lain.

Bercakap kepada media selepas itu, Mohamad Dahlan berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk berbincang dengan persatuan teksi bagi mencari jalan penyelesaian.

“Bila saya panggil untuk berbincang di dalam, mereka menyatakan syarat untuk berjumpa di luar, di hadapan para penyokong mereka. Saya tak boleh terima syarat itu kerana kita ada prosedur yang harus kita hormati, tentunya dari sudut keselamatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan