Senyuman sukarelawan lapangan terbang berjaya tenangkan penumpang - Raja Azmi [ 2h ago ]

Penghantaran makanan guna dron bakal dilaksana di Cyberjaya

Tarikh kemaskini: 18/06/2019
Oleh HAFZI @ HASANI MOHAMED DAN SYED IYLIA HARIZ AL-QADRI SYED IZMAN

CYBERJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Berita baik buat warga Cyberjaya. Mulai penghujung bulan ini, mereka bakal menikmati perkhidmatan penghantaran makanan menggunakan dron.

Average Drone Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang berkecimpung dalam industri dron sejak 2014, merancang untuk mewujudkan khidmat tersebut dalam masa terdekat dengan kerjasama Futurise, sebuah anak syarikat milik penuh Cyberview yang dimiliki Kementerian Kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Average Drone Sdn Bhd, Hamdee Hamdan berkata pada masa ini perancangan tersebut yang merupakan projek percubaan selama tiga bulan akan melibatkan penghantaran makanan di kawasan berada dalam lingkungan 2km dari bangunan Futurise, di sini.

Beliau berkata hanya tujuh jenis makanan akan ditawarkan dalam tempoh percubaan itu melibatkan makanan jenis mi, bihun, nasi, burger, sandwic, kuih dan buah-buahan.

“Ini versi percubaan, selepas tiga bulan kita tengok macam mana, selepas itu kita akan tambah jenis makanan,” katanya ketika ditemui Bernama pada ekspo MyDroneX di sini, semalam.

Hamdee berkata pihaknya juga telah membangunkan aplikasi mudah alih yang masih dalam draf akhir, bagi memudahkan pembeli untuk menempah makanan mereka menerusi aplikasi itu.

Beliau menjangkakan tempoh daripada proses tempahan sehingga makanan itu sampai ke destinasi pesanan, mengambil masa selama 12 minit dan kos penghantaran adalah sebanyak RM2.50 bagi setiap perjalanan.

“Ia bukan banyak berkisar pada harga, tetapi mengenai jangka masa, ramai yang inginkan penghantaran cepat. Kita juga sudah membangunkan dron itu boleh diterbangkan pada waktu hujan tetapi bukan dalam situasi hujan lebat,” katanya.

Hamdee berkata pada masa ini, dron yang mempunyai enam bilah kipas dinamakan ‘Express Food’ dihasilkan syarikatnya itu mampu menampung berat muatan sehingga 800 gram.

“Tetapi sekiranya projek percubaan itu berjaya, kita mempunyai perancangan untuk mengubah suai dron tersebut sehingga mampu menampung muatan seberat tiga kilogram,” katanya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu