Ebola virus in Congo: Health Ministry steps up preparedness [ 3h ago ]

Program khas untuk pemandu e-hailing OKU dapatkan lesen PSV

Tarikh kemaskini: 14/06/2019
Anthony Loke Siew Fook
PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Program khas akan diadakan untuk pemandu e-hailing Orang Kurang Upaya (OKU) sedia ada untuk membolehkan mereka mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi meneruskan sumber pendapatan mereka.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata melalui program khas itu, pemandu e-hailing OKU perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, latihan PSV dan ujian PSV.

Berdasarkan rekod Penyedia Perkhidmatan e-hailing (EHO), menurutnya terdapat 367 pemandu e-hailing OKU, dengan sebahagian besar daripada mereka cacat pendengaran iaitu seramai 273 orang.

"Proses pemeriksaan kesihatan mereka nanti akan dilaksanakan oleh doktor Kementerian Kesihatan di fasiliti yang sesuai,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Loke, mereka juga sudah boleh menjalani latihan dalam talian yang dikenali sebagai e-learning PSV bermula hari ini, selama enam jam berdasarkan modul yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) .

Ujian PSV untuk mereka pula akan dilaksanakan pada 1 Julai ini (2019) di Dewan Serbaguna, Kementerian Pengangkutan di sini dan dikendalikan sepenuhnya oleh JPJ, katanya.

"Calon perlu hadirkan diri ke pusat ujian bagi memastikan tahap akauntabiliti proses ujian di tahap yang terkawal," katanya.

Loke berkata JPJ akan memaklumkan keputusan ujian dan mengeluarkan kad PSV selepas lima hari ujian PSV dilaksanakan.

"Mereka dijangka mendapat lesen PSV masing-masing pada 6 Julai,” katanya.

Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata mulai Julai 2019, semua pemandu perkhidmatan e-hailing perlu menduduki kursus dan memperoleh lesen PSV sama seperti yang diwajibkan ke atas pemandu teksi.

Ia adalah sebahagian langkah kerajaan untuk mengawal selia industri perkhidmatan e-hailing dan mewujudkan persekitaran yang sama rata seperti perkhidmatan teksi.

Loke berkata kos bagi proses pengambilan lesen PSV untuk pemandu e-hailing OKU berjumlah RM320 seorang akan ditanggung oleh pihak EHO seperti Grab, MyCar, Dacsee dan EZcab sebagai tanggungjawab sosial.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu