ICC to determine after October if Rohingya probe needed [ 5m ago ]

Projek ECRL dapat sambutan daripada firma pembinaan tempatan

Tarikh kemaskini: 12/06/2019
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Lebih daripada 1,000 syarikat pembinaan dari seluruh negara merebut peluang mendapatkan sebahagian daripada 40 peratus bahagian kerja sivil Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion susulan berakhirnya program pendaftaran Pra-Kelayakan (Pra-Q) untuk mengenal pasti subkontraktor berpotensi.

Sebanyak 1,321 penyertaan daripada syarikat-syarikat berdaftar CIDB telah diterima oleh kontraktor utama ECRL, China Communications Construction Company Ltd (CCCC), semasa program Pra-Q pada 29 dan 30 Mei 2019.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan CCCC dalam kenyataan bersama berkata penyertaan syarikat-syarikat gred G7 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mendahului senarai dengan 859 permohonan atau 65 peratus.

"Ini diikuti kategori Gred G5 dengan 134 penyerahan dan kategori Gred G4 dengan 132 penyerahan. Selebihnya terdiri daripada Gred G3 dan Gred G6 masing-masing dengan 104 penyerahan dan 92 penyerahan.

"Penyertaan Bumiputera juga sangat menggalakkan. Program penyerahan dokumen Pra-Q ECRL berlangsung selama dua hari telah merekodkan penyertaan 994 syarikat kejuruteraan dan pembinaan Bumiputera yang mewakili 75.25 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran," katanya.

MRL dan CCCC berkata jumlah penyerahan dalam program Pra-Q itu adalah perakuan lanjut projek ECRL yang dikurangkan kepada RM44 bilion, dengan rangkaian rel tersebut akan melalui negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

"Semangat ditunjukkan oleh syarikat-syarikat pembinaan Malaysia terutama daripada syarikat dalam kumpulan Gred G7 CIDB, menonjol menerusi peningkatan peratusan penyertaan kontraktor tempatan dan kerja-kerja sivil yang telah dipertingkat daripada 30 peratus kepada 40 peratus seperti dalam Perjanjian Tambahan antara MRL dan CCCC yang ditandatangani pada 12 April 2019," katanya.

MRL sebagai pemilik projek ECRL, menggalakkan peserta industri tempatan terutama kontraktor tempatan untuk proaktif merebut sebarang peluang menyertai projek ECRL, bukan hanya sebagai kontraktor malah sebagai pembekal, perunding dan skop lain yang berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak juga berharap projek ECRL itu akan menjadi contoh projek kerajaan yang dapat mengetengahkan keupayaan kontraktor tempatan untuk berkerjasama dengan kontraktor antarabangsa dalam melaksanakan dan memenuhi piawaian tinggi projek infrastruktur berskala besar.

"Penyertaan kontraktor tempatan, ia tidak hanya bertindak sebagai rangsangan kepada sektor pembinaan tempatan bahkan juga sebagai pemangkin dalam pemindahan pengetahuan dan teknologi memandangkan projek ECRL merupakan antara projek kejuruteraan dan pembinaan yang paling mencabar di Malaysia,” kata Darwis.

Susulan proses Pra-Q ECRL itu, MRL akan bekerjasama rapat dengan CCCC dalam proses penilaian dan proses senarai pendek sebanyak 1,321 syarikat pembinaan sebagai penender bagi kerja-kerja sivil ECRL.

Syarikat yang berjaya disenarai pendek akan diberitahu secara bertulis oleh CCCC, katanya.

MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah pemilik projek dan aset ECRL.

Projek merangkumu jajaran sepanjang 640km itu dijadualkan siap pada Disember, 2026 dan perjalanan dari Kota Bharu ke Putrajaya dalam masa sekitar empat jam.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu