MELAKA, 11 Jun (Bernama) -- Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka bernilai RM682 juta, yang merupakan sebahagian daripada projek Melaka Gateway dijangka siap September tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif pemaju projek pelabuhan laut dalam KAJ Development Sdn Bhd Datuk Michelle Ong berkata kerja-kerja pemasangan cerucuk telah bermula semalam dan ini adalah kritikal kerana cerucuk ujian -- berukuran 53 meter, 45 meter dan 43 meter panjang -- akan mengenal pasti reka bentuk keseluruhan terminal.
“Projek pemasangan cerucuk dijangka mengambil masa tiga hari. Sebaik sahaja kerja-kerja pemasangan cerucuk siap, reka bentuk terminal itu akan lengkap dan projek itu boleh dilaksanakan. Kedalaman laut ialah kira-kira 13 hingga 15 meter yang membentuk pelabuhan semula jadi dan sehubungan itu kerja-kerja pengorekan adalah tidak perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tahun lepas, lesen pengoperasian pelabuhan KAJ Development bagi Melaka gateway dan jeti terminal kapal dibatalkan, namun syarikat itu merayu keputusan kerajaan itu.
Ong berkata syarikat itu memperoleh semula lesen operasi pada bulan lepas, menerima sokongan daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
“Projek terminal itu akan dipercepat mulai sekarang,” katanya, dan menurutnya, Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka yang dijangka siap pada September 2020 atau lebih awal.
Projek pemasangan cerucuk bagi Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka itu dilancarkan semalam oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak.
Ong berkata KAJ Development menjangka kedatangan pelancong ke negeri itu menerusi kapal persiaran melibatkan kos minimum US$200 bagi setiap satu yang akan meningkatkan perolehan negeri dan juga negara.
“Kami juga meminta kerajaan negeri menubuhkan agensi untuk mendaftar vendor tempatan yang berminat dalam kemudahan pengisian di pelabuhan itu,” katanya.
Menurutnya, syarikat itu berhasrat menjadi peneraju dalam industri maritim domestik dan bercadang membuka universiti maritim untuk memberi manfaat kepada pelajar tempatan.
Beliau berkata sebaik siap, projek Melaka Gateway akan menghasilkan 45,000 hingga 60,000 pekerjaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial