Oleh Norsyafawati Ab Wahab
CYBERJAYA, 4 Jun (Bernama) -- VentureTECH Sdn Bhd (VentureTECH), sebuah syarikat pelaburan bagi industri baharu dan nilai tambah tinggi, telah melabur kira-kira RM100 juta dalam 13 syarikat penerima sejak penubuhannya kira-kira sedekad lepas.
Pengarah Urusannya, Dr Norida Abd Rahman berkata sebagai pelabur yang memiliki teras dalam pelaburan berimpak kualiti, VentureTECH turut memberi penekanan utama terhadap usaha penjanaan pulangan komersial serta masyarakat.
"Pada masa ini, kami sudah melabur dalam 13 syarikat penerima pelaburan yang juga merupakan peneraju teknologi dalam sembilan sektor khusus. Kami turut berbangga dengan kejayaan segelintir syarikat terbabit menembusi pasaran asing yang sememangnya amat mencabar," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pelaburan itu termasuk RM10 juta dalam CMC Group Sdn Bhd dalam usaha menyokong pertumbuhan lanjut penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan itu dalam segmen pengangkutan awam, info-komunikasi serta kuasa dan tenaga.
"Kami turut melabur RM20 juta dalam Ain Medicare Sdn Bhd bagi meningkatkan kapasitinya untuk melonjakkan eksport di rantau ini selain memenuhi lebih banyak permintaan bagi produk dialisis kritikal di Malaysia," katanya.
Mengulas lanjut, Norida berkata sejajar kedudukan sebagai syarikat pelaburan yang diberi mandat oleh kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi, sebahagian besar pertumbuhan VentureTECH itu juga dipacu oleh prestasi perniagaan syarikat-syarikat penerima pelaburannya.
"Walaupun lebih berwaspada di peringkat makro, kami juga secara keseluruhannya optimis terhadap trajektori pertumbuhan syarikat penerima pelaburan pada masa depan.
"Asas optimis kami pula berbeza bagi setiap perkembangan yang mempengaruhi pasaran seperti pengumuman Projek Laluan Rel Pantai Timur yang disambung semula dan membolehkan syarikat penerima pelaburan terbabit menyertai tender-tender pada masa akan datang dan turut melonjakkan pertumbuhan keseluruhan industri utama dalam jangka panjang seperti peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi penjagaan kesihatan," katanya.
Pada masa sama, Norida berkata VentureTECH juga telah menyaksikan pertumbuhan yang ketara sejak penubuhan syarikat itu terutamanya dalam tempoh tiga tahun lepas.
"Perolehan agregat portfolio pada 2018 berjumlah RM317 juta iaitu meningkat berbanding RM33 juta pada 2016 manakala jumlah portfolio syarikat turut meningkat daripada tiga pada 2016 kepada 12 dalam tahun kalendar semasa.
"Jumlah pelaburan modal adalah kira-kira RM100 juta pada 2019 berbanding RM28 juta pada 2016," katanya.
Norida juga menyifatkan pelaburan itu sebagai paparan perjalanan VentureTECH daripada menyokong syarikat pemula industri bioteknologi kepada tumpuan semasa dengan memupuk syarikat-syarikat dipacu pertumbuhan tinggi dari segi usahawan dalam tiga bidang utama seperti berteraskan biologi, industri baharu dan hijau.
"Syarikat-syarikat yang mendapat pelaburan dan terus menjadi sasaran kami adalah kalangan syarikat rintis dan dipacu teknologi dengan matlamat dan aspirasi jangka panjang yang jelas.
"Kepakaran dan teknologi mereka ini lazimnya bersifat serba boleh dan membolehkan (kewujudan) pelbagai syarikat dalam portfolio kami untuk saling bekerjasama membentuk kekuatan dan peluang sinergistik rentas teknologi atau aplikasi pelbagai sektor bagi meningkatkan lagi pertumbuhan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial