BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (PetDag) meningkat satu pertiga kepada RM291.20 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2019 daripada angka yang direkodkan semasa tempoh yang sama 2018, disokong margin lebih baik dalam perniagaan runcit dan komersial.
Perolehan turut meningkat kepada RM7.09 bilion daripada RM7.07 bilion pada tempoh yang sama, terutama didorong oleh peningkatan sebanyak tiga peratus dalam jumlah jualan, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Keuntungan sebelum cukai bagi segmen runcit melonjak 36 peratus tahun ke tahun kepada RM226.4 juta manakala keuntungan sebelum cukai perniagaan komersial meningkat 22 peratus kepada RM145.7 juta.
Prestasi runcit itu disumbangkan oleh margin lebih tinggi bagi gasolin motor dan diesel susulan peningkatan aliran harga di Mean of Platts Singapore yang menjadi penanda aras.
Bagi segmen komersial, PetDag berkata margin lebih baik dan jumlah yang meningkat daripada Jet A1 dan diesel menyumbang kepada keuntungan lebih kukuh.
Dalam kenyataan media, PetDag berkata pertumbuhan jumlah jualan sebanyak lapan peratus tahun ke tahun dalam segmen runcit adalah dipacu pengeluaran stesen lebih baik dan penambahan jumlah stesen yang beroperasi semasa suku pertama 2019 itu.
Bagi segmen komersial pula, ia berkata keuntungan kasar melonjak 25 peratus dan jumlah jualan meningkat di semua kategori Jet A1, diesel dan bitumen bagaimanapun, perniagaan gas petroleum cecair dan pelincir mengalami penurunan keuntungan dan jumlah jualan.
Mengenai prospek, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PetDag, Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata syarikat akan terus berhati-hati terhadap ketidatentuan harga minyak mentah dan memastikan ia kekal cekap dalam menguruskan inventori.
“Pada masa sama, kami akan menumpukan pengukuhan rangkaian dan pengurusan pengedar, memanfaatkan produk unggul kami yang baru dilancarkan, mempergiat usaha pendigitalan dan pemasaran serta menambah baik perkhidmatan untuk memberi pengalaman lancar kepada pelanggan secara konsisten,” katanya.
PetDag mengumumkan dividen interim 15 sen sesaham bagi suku pertama 2019 (suku pertama 2018: 13 sen).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial