EKONOMI

Saham: Mahkamah benar pembelaan dapat penjelasan terhadap 161 tuduhan

17/05/2019 01:41 AM

SINGAPURA, 16 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Singapura hari ini membuat kputusan yang memihak kepada pasukan pembelaan berhubung kejelasan 161 tuduhan yang dihadapi oleh ahli perniagaan Malaysia, Soh Chee Wen dan Pengarah dan Ketua Eksekutif IPCO International Ltd ketika itu, Quah Su-Ling.

Jumaat lalu, kedua-dua peguam mewakili tertuduh tersebut, menuntut pihak pendakwa membekalkan butiran bagi tuduhan ke-11 hingga ke-172 dalam perbicaraan bersama kes membabitkan keruntuhan pasaran saham murah pada 2013.

Ia sama ada arahan diberikan oleh tertuduh kepada firma broker dan institusi kewangan secara langsung atau tidak langsung dan sama ada kebanyakan atau kesemua arahan itu menyebabkan berlaku perdagangan saham.

 Selasa lalu, pihak pendakwaan berkata mereka telah memperjelaskan bahawa semua pihak sekuriti yang relevan ada berkait dengan pertuduhan dan menyediakan butiran mengenai tuduhan tersebut.

Berhubung dengan arahan yang diberikan secara tidak langsung daripada orang yang tidak dibenarkan dalam urusan dengan broker tempatan, pihak pendakwaan mengambil pendirian bahawa butir-butir berkenaan tidak diperlukan.

“ Saya tidak setuju dengan pendirian pihak pendakwaan ,” kata hakim Hoo Sheau Peng ketika membacakan keputusan tersebut.

Merujuk kepada perenggan tertentu dalam kenyataan pembukaan pendakwa, Hoo berkata: “Ia nampaknya arahan langsung dan bukan menerusi pihak ketiga. Aturan tuduhan tidak sepenuhnya jelas.” 

Beliau berkata terdapat ketidakpastian yang harus diperjelaskan oleh pihak pendakwaan untuk tujuan semasa dan lebih penting sekiranya tuduhan tersebut membabitkan kesemua arahan oleh tertuduh.

“Saya berpendapat bahawa untuk kejelasan kes, set pertama butiran perlu disediakan untuk baki pertuduhan. Pendakwa harus menjelaskan sekiranya arahan diberikan secara langsung atau tidak langsung oleh pihak ketiga dan sekiranya ada pihak ketiga, identiti pihak ketiga perlu didedahkan,” katanya.

Hoo menegaskan bahawa kedua-dua pihak perlu mengadakan perbincangan lanjut berhubung rangkaian kejadian dan tempoh masa yang diperlukan.

Soh diwakili oleh peguam S. Narayanan manakala Quah oleh Philip Fong.

Pada Mac lalu, Soh, yang menghadapi 189 pertuduhan dan Quah dengan 178 pertuduhan, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berhubung kejatuhan harga saham kira-kira enam tahun lalu.

Soh dan Quah dituduh menaikkan nilai saham tiga syarikat dalam Bursa Singapura iaitu: Blumont Group, Asiasons Capital (kini dikenali sebagai Attilan Group) dan LionGold Corp.

Sejumlah S$8 bilion (RM24.282 bilion) saham hangus apabila pasaran saham Singapura runtuh pada 2013.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan