AM

1M1P dilancarkan bagi tujuan perkongsian maklumat masyarakat setempat

17/05/2019 01:32 AM

KUALA LUMPUR 16 Mei (Bernama) -- Program 1 Masjid 1 Pegawai Polis(1M1P) dilancarkan bagi tujuan komunikasi dan perkongsian maklumat antara polis dan masyarakat setempat.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata program itu merupakan kerjasama antara pihaknya, Jabatan Agama Islam Negeri dan ahli jawatankuasa masjid yang bertujuan bagi meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pencegahan jenayah dengan menyalurkan maklumat jenayah kepada pihak polis.

"Setiap satu daripada 72 masjid di bawah Kontinjen Kuala Lumpur akan diwakili seorang pegawai polis melalui program 1 Masjid 1 Pegawai Polis (1M1P).

“Pegawai polis yang dilantik akan menjadi pegawai perhubungan masjid bagi tujuan berinteraksi serta saling berkongsi maklumat dengan masyarakat dalam usaha mewujudkan persekitaran masjid yang selamat.

“Usaha ini juga bagi mengurangkan kadar jenayah seperti curi motosikal, curi pecah kenderaan, curi tabung dan curi kasut di kawasan masjid,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-nilai Islam dan Pelancaran Program 1M1P bersama masyarakat di Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur.

Tambahnya, program 1M1P itu sangat relevan dan merupakan satu jihad antara masyarakat serta pihak polis dalam aktiviti pencegahan jenayah sekali gus dapat mengimarahkan masjid.

Dalam majlis itu, Mazlan turut menyampaikan sumbangan kepada balu serta anggota polis yang cedera semasa bertugas. 

Sumbangan itu, katanya, bagi meringankan beban mereka ketika menjalani ibadah berpuasa serta persiapan menyambut Aidilfitri.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan