Koronavirus: JaPen edar 20,000 risalah di seluruh Sabah [ 20m ago ]

Projek LRAL2 mula bekal air Ogos ini

Tarikh kemaskini: 17/05/2019



KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2) akan mula membekalkan sejumlah 325 juta liter air terawat kepada penduduk Lembah Klang pada Ogos ini.

Jumlah itu merangkumi 25 peratus bekalan air terawat daripada fasa pertama projek terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) Abdul Hadi Ali berkata bekalan air terawat tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira 325,000 akaun pengguna.

"Kita akan memulakan (usaha) pengujian dan pengoperasian sebahagian projek LRAL2 bermula 21 Mei ini dan dijangka selesai pada pertengahan Ogos.

"Selepas itu, kami akan dapat serahkan sebahagian loji rawatan itu kepada pihak pengendali air di Selangor," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat dan sumbangan PAAB Prihatin ´Oh Seronoknya Raya 2019´ di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Abdul Hadi berkata fasa pertama LRAL2 yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022, akan membekalkan sejumlah 1,130 juta liter air sehari sekali gus meningkatkan rizab bekalan air di Selangor.

Projek LRAL2 itu membabitkan tiga fasa termasuk pembinaan loji rawatan air yang akan membekalkan 565 juta liter air sehari ke Takungan Hulu Langat.

Selain itu, mengulas pembelian semula aset konsesi rawatan air Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang disewakan semula kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Hadi berkata proses pengambilalihan tersebut telah selesai sepenuhnya.

"Pemindahan saham itu telah selesai," katanya.

Pada 28 September 2018, Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (SPLASH Holdings) telah memeterai perjanjian bersyarat untuk menjual anak syarikat milik penuhnya, SPLASH kepada kerajaan Selangor pada harga RM2.55 bilion.

Pengambilalihan SPLASH oleh Air Selangor merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyeragamkan serta menstruktur semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ini bagi meningkatkan margin simpanan air dan mengurangkan pendapatan bukan air selain mencapai objektif bekalan air tanpa gangguan di Lembah Klang dan seluruh negara.

Kos pengambilalihan SPLASH ditanggung sepenuhnya oleh Air Selangor dengan jumlah pembiayaan RM1.9 bilion melalui dana yang disalurkan PAAB manakala baki RM650 juta akan dibayar secara ansuran selama sembilan tahun.

Selain itu, pada majlis sama, PAAB turut mengagihkan zakat serta sumbangan barangan elektrik, kelengkapan Aidilfitri dan duit raya kepada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh dan Katijah Abdul Karim iaitu balu Allahyarham Mohammad Suhaimi, pemandu lori tangki yang meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan, Februari lepas.

Zakat dan sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah. Hadir sama, Pengerusi PAAB Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu