KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Sebanyak RM87,000 diperuntukkan Parlimen Puchong hari ini sebagai sumbangan kepada masjid serta surau di bawah Parlimen berkenaan bagi menyemarakkan aktiviti sepanjang bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Anggota Parlimen Puchong yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat kepada 12 masjid yang masing-masing akan menerima RM2,000 dan 40 surau akan mendapat RM1,500.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada sebuah masjid dan tujuh surau dalam Parlimen Puchong sempena majlis Jamuan Moreh di Surau Al-Falah, Taman Seri Andalas, Seri Kembangan di sini malam tadi. Surau Al-Falah menerima peruntukan RM3,000.
“Ini buat kali pertama saya berikan peruntukan selaku Ahli Parlimen kerajaan kerana sedikit peruntukan diberikan oleh kerajaan pusat. Sebelum ini tidak ada peruntukan sebegitu, jadi tak mampu beri sumbangan sebegini tetapi sekarang memang ada, kita salurkan sebanyak mana yang boleh untuk membantu.
“Ini bukan sekali sahaja, saya berhasrat sekiranya diizinkan setiap tahun saya akan tetap memberikan sumbangan dan bukan sekadar sumbangan Ramadan sahaja, saya bersedia berikan dalam bentuk apa jua cara yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada sebuah masjid dan tujuh surau dalam Parlimen Puchong sempena majlis Jamuan Moreh di Surau Al-Falah, Taman Seri Andalas, Seri Kembangan di sini hari ini.
Gobind Singh berharap semua masjid dan surau yang menerima sumbangan tersebut dapat menggunakan peruntukan itu sebaiknya khususnya sempena menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri yang akan datang.
Jelas beliau, sekiranya mana-mana surau dan masjid di kawasan itu memerlukan lebih bantuan, mereka diminta menulis surat kepada sebagai prosedur wajib bagi memudahkan pihaknya menyalurkan sumbangan.
Sementara itu Pengerusi Surau Al-Falah Rasedi Arof, menzahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan dan berharap dapat digunakan bagi mengimarahkan aktiviti di surau berkenaan.
“Ini pertama kali seorang menteri hadir di surau kami dan saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan lawatan menteri yang tidak kekok untuk bergaul bersama masyarakat Melayu di kawasan ini,” katanya.
Pesara kerajaan Alwi Noorai, pula menyifatkan Gobind Singh seorang yang pemurah dalam memberi bantuan kepada masjid dan surau di kawasan itu walaupun sejak sebelum menjawat jawatan dalam Kabinet.
“Sebelum jadi menteri beliau memang sudah sedia banyak membantu dan telah melawat masjid dan surau beberapa kali termasuk memberikan sumbangan bagi memperbaiki bumbung di sebuah surau di sini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial