Cacat penglihatan bukan halangan bergelar penulis [ 6m ago ]

Siti Kharina disenangi keluarga dan rakan sekerja

Tarikh kemaskini: 16/05/2019
Siti Kharina Mohd Kamarudin
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Siti Kharina Mohd Kamarudin, Ketua Jururawat Hospital Serdang, yang ditemui mati dibunuh di kondominium di Cyberjaya semalam, disifatkan seorang yang baik hati dan disenangi keluarga dan rakan sekerja.

Berita kematian Siti Kharina, selepas dia dilapor hilang 8 Mei lepas, mengejutkan rakan dan anggota keluarganya.

Anggota keluarga termasuk suami wanita itu dan rakan-rakan sekerjanya mula berkumpul di Jabatan Forensik Hospital Serdang sebaik mengetahui mengenai berita sedih itu.

“Saya tahu mengenai berita kematian sepupu rapat saya (Siti Kharina) ini menerusi group WhatsApp family kami awal pagi tadi. Kami bergegas ke sini sebaik mendapat berita itu,” kata Ali Azizan Mohd Salleh ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Serdang di sini hari ini.

Siti Kharina, 40, ditemui mati dibunuh di unit kondominium yang disewanya di Cyberjaya. Mayat wanita itu ditemui pemilik rumah berkenaan pada Rabu dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

Ali Azizan berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Siti Kharina ialah November lepas ketika majlis perkahwinan anggota keluarga mereka.

“Dia seorang yang baik hati dan disenangi keluarga serta rakan sekerja...dia juga ceria dan seorang yang berwawasan, " katanya.

Beliau berkata semua anggota keluarga termasuk suami Siti Kharina yang bekerja sebagai pembantu am di sebuah pusat dialisis di Kuala Pilah, Negeri Sembilan berada di hospital semasa urusan bedah siasat dan untuk menuntut mayat wanita itu.

Rakan sekerja Siti Kharina yang enggan dikenali pula berkata mangsa mula berkhidmat di Hospital Serdang sejak lima tahun lalu dan seorang yang mudah mesra dengan kakitangan lain.

Beliau berkata semua rakan sekerja terkejut dengan berita kematian Siti Kharina kerana dia tidak pernah mempunyai musuh.

"Satu kehilangan yang amat dirasai kami dan sebak bila diingatkan kembali, " katanya.

Sementara itu mayat Siti Kharina dibawa keluar dari Jabatan Forensik pada 4.35 petang ini selepas selesai dimandikan. Jenazah dibawa ke Kampung Tengah Seri Menanti, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Siti Kharina, dilapor hilang 8 Mei lalu selepas kali terakhir dilihat di tempat letak kereta Hospital Serdang pada 4 petang. Siti Kharina dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih.

Siti Kharina meninggalkan suami, tiga anak perempuan iaitu seorang berusia 14 tahun dan kembar berusia 10 tahun.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu