Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 1h ago ]

Ditangkap tidak puasa, warga emas beri alasan tidak sihat

Tarikh kemaskini: 12/05/2019
Kedah
JITRA, 12 Mei (Bernama) -- Alasan tidak sihat diberikan seorang lelaki warga emas yang ditangkap kerana tidak berpuasa oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di sebuah kedai makan Cina di Pekan Tunjang, di sini hari ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JHEAIK Syeikh Azhari Mohamad berkata lelaki berusia 71 tahun itu didapati sedang minum di kedai makan terbabit ketika serbuan dibuat pihaknya.

“Bila kita tahan dan soal siasat dia, lelaki ini mengaku dia tidak berpuasa sebab ada masalah kesihatan, tetapi bila kita tanya lanjut tidak ada jawapan sahih sakit apa sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi Ramadan di sini, hari ini.

Semasa operasi itu, warga emas tersebut yang bekerja kampung enggan memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasa JHEAIK dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan antara dia dengan pihak penguatkuasa.

Warga emas itu juga bertindak terbaring ke atas lantai kedai makan berkenaan semasa pergelutan tersebut untuk menunjukkan dirinya tidak sihat.

Syeikh Azhari berkata pihaknya mengeluarkan notis saman kepada kepada warga emas terbabit mengikut Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana makan atau minum di khalayak ramai pada bulan Ramadan yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia 50 tahun yang didapati minum di kedai sama turut dikenakan notis saman di bawah seksyen dan enakmen sama.

"Lelaki umur 50 tahun ini juga berikan alasan tidak sihat dengan mengatakan dia pemegang kad OKU (Orang Kelainan Upaya) kategori ada masalah kesihatan mental. Apabila kita minta dia tunjuk bukti kad OKU itu, dia ada kad itu," katanya.

Syeikh Azhari berkata kedua-dua lelaki itu dilepaskan bersama notis saman dan mereka dikehendaki datang ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Syeikh Azhari berkata sebanyak lima notis saman di bawah seksyen berkenaan dikeluarkan kepada orang awam kerana makan atau minum di khalayak ramai sejak hari pertama puasa lalu.

“Bila kita turun operasi ini, banyak sempat melarikan diri...kita akan meneruskan lagi operasi ini dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan ini bagi mengesan mereka yang tidak berpuasa dan tidak menghormati bulan Ramadan ini,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu