Atase pertahanan asing lawat fasiliti ketenteraan di Korea Selatan [ 6m ago ]

Cadangan gabungan mega Axiata-Telenor beri keuntungan dari segi kos

Tarikh kemaskini: 06/05/2019
KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Cadangan penggabungan mega antara Axiata Group Bhd dan Telenor Group, Norway akan memberikan keuntungan dari segi kos, menurut Public Investment Bank.

Dalam nota penyelidikan pada Isnin, ia berkata, penggabungan itu dijangka mengurangkan tekanan ke atas peningkatan kos, memandangkan persaingan semakin sengit dalam kebanyakan pasaran telekomunikasi Asia.

Public Investment juga menaikkan saranan ke atas Axiata Group Bhd kepada ‘neutral’ susulan laporan mengenai penggabungan mega tersebut.

Telenor Group mempunyai 49 peratus kepentingan dalam Digi.com Bhd.

Akhbar perniagaan harian melaporkan Axiata telah berbincang dengan Telenor, untuk menggabungkan operasi mereka di Asia.

Kedua-duanya mempunyai operasi di Malaysia dan Bangladesh namun kedudukan Axiata lebih luas memandangkan ia menjalankan perniagaan telekomunikasi di Sri Lanka, India, Nepal, Kemboha dan Indonesia.

Public Investment berkata, di peringkat pasca penggabungan, Axiata akan menjadi pemegang saham bagi entiti yang digabungkan tersebut selain akan memegang 80 peratus kepentingan dalam Ncell Nepal secara berasingan.

Bergantung kepada penilaian terhadap transaksi pertukaran saham berpotensi, Public Investment Bank berpandangan Axiata boleh menjadi pemegang saham lebih besar bagi entiti digabungkan itu.

“Berdasarkan persaingan yang semakin meningkat di banyak pasaran telekomunikasi, kaedah penggabungan mungkin merupakan penyelesaian untuk memperolehi penguasaan pasaran sekali gus mengekalkan margin keuntungan. Sekiranya cadangan penggabungan itu direalisasikan, kami yakin dan positif dengan Axiata,” menurutnya.

Harga saham Axiata mengalami prestasi kurang baik sejak turun taraf dan memenuhi jangkaan Public Investment.

Justeru itu, berasaskan kecenderungan rendah terhad daripada harga sasaran itu, ia kini menaikkan saranan ke atas syarikat berkenaan kepada ‘neutral’ dengan harga sasaran selama 12 bulan pada RM3.65.

Kedua-dua firma berkenaan telah meminta nasihat daripada bank pelaburan asing mengenai langkah penggabungan dan pengambilalihan tersebut, sekiranya direalisasikan, ia mungkin melibatkan sekurang-kurangnya 300 juta pelanggan mudah alih.

Saham Axiata dan Digi telah digantung mulai 9 pagi hingga 5 petang hari ini sementara menunggu pengumuman oleh penyedia telekomunikasi tersebut.

Saham Axiata dan Digi masing-masing pada RM4.04 dan RM4.52.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu