SUKAN

Lima pemain dipanggil sertai sesi pemilihan skuad bola jaring negara

03/05/2019 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Lima pemain akan dipanggil menyertai sesi pemilihan untuk menyertai skuad bola jaring negara ke Sukan SEA di Filipina, November ini.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada pemain berkenaan akan diserap ke dalam pasukan negara yang dalam misi untuk mengekalkan kejuaraan di temasya dwi tahunan itu.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) Alwiyah Talib berkata lima pemain berkenaan ialah Ally Chuo Chung Mei dan Viny Lau Ching Ping (Sarawak), Noor Haidayu Hasmira Hasbullah dan Izwan Syazana Mohd Wazir (Kedah), dan Nuraina Raziani (Johor).

"Sesi pemilihan akan dijalankan pada Jun ini. Jurulatih juga mencari pemain bola jaring yang boleh bermain lebih daripada satu posisi semasa perlawanan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi sukan Bola Jaring di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Alawiyah berkata jurulatih negara Tracey Robinson akan berada di Malaysia mulai Jun ini untuk meneruskan khidmat beliau mempersiapkan skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina.

Jurulatih dari Australia itu pernah membawa skuad bola jaring negara meraih pingat emas, di Sukan SEA Kuala Lumpur menewaskan musuh tradisi Singapura dalam aksi final.

Sementara itu, Alwiyah berkata MSN dan PBJM akan menganjurkan Kejohanan Jemputan Bola Jaring Malaysia untuk menguji ketahanan pemain. 

"Negara-negara pesaing seperti Papua New Guinea, Bermuda, Kenya dan Hong Kong telah dijemput dan kita masih menunggu jawapan daripada mereka. 

"Kira-kira RM40,000 diperuntuKkan membiayai penginapan, jamuan dan pengangkutan bagi kejohanan berkenaan yang dijadualkan dari 24 hingga 29 Julai di Stadium Juara Bukit Kiara," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Alawiyah memaklumkan bahawa lima pemain pelapis negara akan menyertai Kejohanan Bola Jaring Asia 2019 (Asian Youth Netball Championship 2019 ) di Kashima, Jepun dari 27 Jun hingga 8 Julai ini.

“Kita mensasarkan pemain pelapis negara mampu meraih gelaran juara kali ini. Kita pernah berada di tempat ketiga pada kejohanan yang lepas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan