KOTA KINABALU, 3 Mei (Bernama) -- Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata kebanyakan rakyat Sabah khususnya masyarakat pribumi, bimbang mengenai isu perihal Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang sedang dan akan ditangani oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Katanya, pengumuman kerajaan mengenai program pemutihan PATI dan pemberian dokumen kepada rakyat tanpa negara merisaukan rakyat Sabah.
“Apa yang saya suarakan (video mengenai ucapannya menyentuh isu PATI) yang tular dalam media sosial, adalah kebimbangan dan suara hati rakyat negeri Sabah.
“Selaku wakil rakyat, saya menyampaikan isi hati rakyat yang kurang senang atau tidak setuju dengan beberapa pendekatan atau cadangan menangani isu PATI yang diambil oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hajiji, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sulaman, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman yang mengkritik dan menyifatkan beliau sebagai pembangkang, apabila satu rakaman video ucapannya di Tuaran menyentuh isu PATI tular dalam media sosial baru-baru ini.
Hajiji berkata sekiranya apa yang saya ucapkan itu (dalam video itu), adalah program Kerajaan Negeri yang masih di peringkat cadangan, maka seharusnya ia tidak diteruskan kerana rakyat negeri ini membantah dan tidak bersetuju dengan pendekatan dan cadangan berkenaan.
“Tetapi, saya nampak dalam media sosial, ramai orang (warga asing) yang berpusu-pusu berjumpa dengan Suruhanjaya Sumpah (JP), termasuk di Tuaran untuk mengesahkan dokumen diri mereka untuk urusan seperti ini.
“Sehingga terdapat rakyat yang bimbang dengan insiden itu, bertindak membuat laporan polis kerana bimbang dengan kehadiran ramai warga asing. Oleh itu, selaku wakil rakyat, saya telah diminta oleh rakyat untuk menyuarakan kebimbangan mereka kepada Kerajaan Negeri dan Kerajan Persekutuan. Apa yang saya suarakan itu bukan bersifat menyerang Kerajaan Negeri seperti yang didakwa oleh Aziz," tambahnya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga sepatutnya memberi keutamaan dan tumpuan kepada membangunkan ekonomi rakyat dan negeri, dan bukan kepada hal-hal seperti menyediakan pulau berhampiran sempadan pelarian serta pemberian dokumen kepada PATI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial