AM

Pengurangan cukai jalan 50 peratus galak guna kenderaan elektrik dan hibrid

22/04/2019 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kerajaan sentiasa menggalakkan penggunaan kenderaan berteknologi hijau dengan menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk pengurangan cukai jalan 50 peratus bagi kenderaan jenis elektrik dan ‘hybrid plug in charging’, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar.

“Kementerian juga turut mewujudkan sebuah badan khas yang dinamakan ‘Kelulusan Jenis Kenderaan’ yang berfungsi untuk mengenal pasti dan meluluskan kenderaan teknologi hijau terutamanya lori dan bas, bagi mengurangkan penggunaan kenderaan berkarbon,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Yaakob Sapari yang bertanyakan mengenai tindakan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan teknologi hijau.

Menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairuddin Samad pula mengenai jumlah kedua-dua kenderaan itu yang berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan, Kamaruddin berkata sebanyak 5,403 kereta elektrik dan 46,981 kereta jenis 'hybrid plug in charging' berdaftar setakat 31 Mac tahun ini.

"Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi bagi kereta elektrik berdaftar dengan jumlah 2,791 buah, manakala Wilayah Persekutuan pula mencatat jumlah tertinggi kereta jenis hibrid berdaftar dengan jumlah 25,360 buah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan