AM

48 mesin air minuman bertapis tidak berlesen disita di Pulau Pinang

19/04/2019 02:40 AM

KEPALA BATAS,18 April (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyita 48 unit mesin air minuman bertapis bernilai RM230,400 kerana tiada lesen dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar negeri hari ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata selain tiada lesen, syarikat yang memiliki mesin-mesin ini juga mendakwa air ini mempunyai pelbagai kebaikan dan mampu menyembuh penyakit sehingga boleh memperdaya pengguna.

"Operasi yang disertai lebih 30 orang anggota penguatkuasa itu mendapati mesin air bertapis yang kebanyakannya dipasang di hadapan kedai runcit tidak mendapat lesen daripada pihak JKNPP selain mengabaikan faktor kebersihan dan kesihatan.

"Sebelum operasi hari ini, pihak kami telah memberi peluang kepada syarikat-syarikat mesin air untuk memohon lesen namun sehingga hari ini mereka gagal berbuat demikian (memohon lesen)," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Operasi yang bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang itu, turut di sertai penguatkuasa Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) dan pegawai Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.

Mohd Wazir berkata pihaknya memberi tempoh selama enam bulan untuk syarikat-syarikat mesin air bertapis itu tampil memohon lesen dan jika masih gagal berbuat demikian mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya selain itu, syarikat mesin air bertapis berkenaan juga tidak menyelenggara mesin-mesin supaya berada dalam keadaan baik malah ada penutup di bahagian mengisi air yang terbuka dan boleh mengundang kehadiran binatang.

"Tindakan penyitaan itu dibuat menurut  Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 dan  Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada lesen serta mengiklankan produk mampu menyembuh penyakit," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan operasi itu dari semasa ke semasa bagi memastikan syarikat pembekal air ini mematuhi peraturan dengan memastikan air yang dibekal mereka berkualiti dan selamat demi kepentingan kesihatan orang ramai.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan