ICC to determine after October if Rohingya probe needed [ 2m ago ]

Cadangan penduduk berdekatan Kompleks Bersepadu Prngerang dibawa ke mesyuarat exco

Tarikh kemaskini: 16/04/2019
Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Menteri Besar Johor, Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini.
KOTA TINGGI, 16 April (Bernama) -- Kerajaan negeri akan membawa setiap cadangan penduduk kampung berdekatan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dekat sini, terutamanya yang terjejas dengan letupan dan kebakaran di persekitaran kompleks berkenaan baru-baru ini, ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk dibincangkan.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata kerajaan negeri mengambil maklum akan semua kebimbangan dan cadangan penduduk yang terkesan dengan insiden itu termasuk yang menyuarakan hasrat untuk berpindah.

"Tentang apa-apa isu, sama ada yang soal pemindahan, semua kita akan bawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan nanti kita akan berbincang juga dengan Petronas dan pihak berkaitan, apa penyelesaian terbaik yang boleh diambil,” kata beliau ketika berucap di Masjid Kampung Lepau, di sini, lewat petang Isnin.

Dr Sahruddin juga berkata kerajaan negeri akan cuba membantu mereka yang terjejas sebaik mungkin dan berharap agar mereka dapat bersabar.

Beliau juga mengharapkan agar pihak Petronas perlu sentiasa membuat “engagement” dengan penduduk supaya dapat tahu masalah yang dihadapi mereka terutama yang tinggal berhampiran dengan projek PIC berkenaan.

Kampung Lepau, yang terletak kira-kira satu kilometer dari projek berkenaan adalah antara mereka yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran di kompleks berkenaan, Jumaat lepas (12 Mac).

Ada antara penduduk kampung itu yang rumah mereka mengalami kerosakan akibat letupan berkenaan termasuk siling jatuh, retak pada dinding rumah dan pintu kaca pecah.

Kampung itu mempunyai 67 rumah dan lebih 100 penduduk.

Pada majlis berkenaan, Dr Sahruddin menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan seharian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Petronas kepada penduduk kampung berkenaan yang terjejas.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri Liow Cai Tung.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu