Batu Pahat maritime foils attempt to smuggle contraband cigarettes [ 17m ago ]

Kerajaan Johor harap Petronas adakan dialog dengan penduduk terlibat insiden letupan rapid

Tarikh kemaskini: 13/04/2019
JOHOR BAHRU, 13 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor hari ini berharap pihak Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengadakan dialog dengan penduduk kampung yang terlibat dalam insiden letupan di projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang, awal pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya akan menggesa Petronas mengadakan dialog itu secepat mungkin dengan penduduk terutamanya Kampung Lepau dan Rengit Jaya yang bimbang dengan status kediaman mereka ketika ini.

“Saya sudah bincang dengan Petronas, dialog ini mesti ada wakil dari pihak kerajaan seperti Pegawai Daerah, Pejabat Tanah dan lain-lain agensi berkaitan sebab kita semua perlu tahu apa yang mereka bincangkan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri penutup Karnival Pendidikan Jom Kurangkan Bil Elektrik di Sekolah Tun Fatimah, di sini hari ini.

Puah berkata waktu dan tempat untuk mengadakan sesi dialog tersebut akan diberitahu kemudian selepas punca insiden letupan itu diketahui.

Beliau berkata difahamkan kejadian letupan itu berlaku disebabkan oleh masalah saliran yang mempunyai radiasi sulfur dan tiada kaitan dengan tangki minyak.

“Saya difahamkan hari ini mereka (anggota yang menjalankan siasatan) baru boleh masuk ke kawasan kejadian kerana semalam tidak boleh masuk sebab keadaan terlalu panas dan perlu mengambil sedikit masa.

Selepas daripada itu, baharu mereka boleh masuk dan baru kita boleh tahu apa punca yang menyebabkan insiden ini berlaku dan apa tindakan yang boleh dilakukan oleh pihak Petronas untuk memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.

Menurut Puah, pihaknya akan membuktikan kepada penduduk bahawa pihak kerajaan negeri sentiasa mengambil berat tentang insiden berkenaan.

Katanya, Petronas dalam masa sama, bersetuju untuk membayar ganti rugi kerosakan rumah penduduk sekiranya penduduk dapat membuktikan bahawa kerosakan tersebut adalah disebabkan oleh insiden letupan.

“Pihak kerajaan negeri akan sentiasa berkomunikasi dengan Petronas untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat sekitar kawasan Rapid Pengerang terjamin.

“Setahu saya, sebelum saya keluar dari Balai Polis Pengerang, kira-kira 3 petang semalam, terdapat 39 laporan polis sudah dibuat oleh penduduk terlibat,” katanya.

Puah berkata kerajaan negeri juga sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat siasatan tentang keadaan mangsa yang terlibat.

“Sekiranya perlu, dalam masa terdekat ini, pihak kerajaan negeri akan memberi sedikit bantuan dululah…walaupun ini tiada kaitan dengan kerajaan, tetapi sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, kita akan bantu juga melalui JKM,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu