SUNGAI PETANI, 13 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah kini sedang merangka pelan tindakan untuk menjadikan negeri ini sebagai ‘Kedah Digital’ yang dijangkakan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah Mohd Firdaus Ahmad berkata kini ia berada pada peringkat kajian beberapa aspek berkaitan.
Selain itu, beliau berkata antara perancangan dalam pelan itu adalah untuk mengajak syarikat teknologi besar seperti Google dan Facebook membuka cawangan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
Katanya anggota jawatankuasa kerangka pelan itu masih berada pada peringkat perbincangan dan penelitian berhubung hal memberikan peluang kepada syarikat berkenaan membuka cawangan mereka di KHTP tersebut.
“Belum lagi masuk perbincangan bersama dengan syarikat tersebut, di mana kita difahamkan sebelum ini kita (Kedah) memang ada menawarkan kepada syarikat Google, dan syarikat Google memang berminat untuk ke Kedah sebelum ini, tetapi saya kena tengok balik di mana terhentinya perbincangan tersebut.
“Insya Allah, di bawah portfolio saya, saya akan sambung balik dan bawa balik ke Kedah,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan acara pelepasan ‘MSAM Walk 2019’ yang disertai hampir 5,000 peserta di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata kadar penembusan jalur lebar di negeri ini telah mencapai 95.6 peratus bagi suku ketiga tahun lepas.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan penduduk setiap kawasan di Kedah terutamanya di pedalaman dapat menikmati kemudahan jalur lebar serta capaian rangkaian telekomunikasi dengan baik.
“Kini kita sedang aktif dalam pembinaan menara (telekomunikasi) di kawasan pedalaman dan terpinggir sikit supaya penduduk kawasan itu dapat menikmati kemudahan jalur lebar dan dapat menikmati coverage Telco (syarikat telekomunikasi). Kita sekarang ini dalam proses pembinaan kira-kira 40 menara,” katanya.
MSAM Walk sejauh 3.3 kilometer itu dianjurkan sempena penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang masuk edisi ke-20 tahun ini anjuran PNB dengan dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 25 April nanti di sini dan dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 April.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial