EKONOMI

Cukai enam peratus dicadang bagi penyedia perkhidmatan digital asing

08/04/2019 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kerajaan bercadang mengenakan cukai perkhidmatan digital  enam peratus ke atas penyedia perkhidmatan digital asing mulai 1 Jan 2020, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata kadar itu disifatkan rendah berbanding cukai perkhidmatan digital yang dikenakan di beberapa negara lain.

Katanya, Rusia umpamanya memperkenalkan cukai itu pada 1 Jan 2017 dengan kadar 18 peratus, Norway pula pada 1 Julai 2011 dengan kadar 25 peratus manakala New Zealand pada 1 Okt 2016 dengan kadar 15 peratus. 

“Sepatutnya mereka (penyedia) boleh bayar ... kerana hanya enam peratus. Kalau mereka boleh patuh dengan Rusia, Norway, New Zealand, saya tidak nampak kenapa mereka tak mahu patuh dengan kadar cukai di Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019 di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Amiruddin, cukai ini bukanlah baharu kerana ia memperluas skop Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang diperkenal kepada penyedia perkhidmatan digital asing.

“Tidak adil kepada penyedia perkhidmatan tempatan sahaja dikenakan cukai, tetapi yang di luar (asing) terlepas daripada bayaran cukai. Ini bukanlah cukai baharu, cuma skopnya khas kepada penyedia di luar negara,” katanya.

Tegasnya, kerajaan mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang itu, walaupun penyedia perkhidmatan digital asing itu berada di luar negara berikutan kerjasama antara kerajaan dan kerajaan (GTG) dalam negara yang terlibat dengan ‘Organisation for Economic Cooperation and Development’ (OECD).

“Kerjasama ini memudahkan kita mengambil tindakan syarikat-syarikat yang ingkar membayar cukai perkhidmatan.

“Kita rasa tidak ada akan masalah untuk syarikat besar tersebut akur dengan apa kita putuskan. Kerana reputasi mereka akan terjejas jika mereka ingkar dan tidak ikut undang-undang Malaysia dan negara lain di dalam OECD,” katanya.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan di Dewan Rakyat dengan pindaan.

Menurut RUU itu, mana-mana pendaftar asing yang melanggar subseksyen (1) melakukan kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 Nov, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilapor berkata kerajaan akan mengenakan dan meremit cukai ke atas perkhidmatan dalam talian (digital) termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital berkuat kuasa 1 Jan 2020.

Selain rang undang-undang itu, turut diluluskan hari ini adalah RUU Kastam (Pindaan) 2019, RUU Zon Bebas (Pindaan) 2019, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2019 dan RUU Eksais (Pindaan) 2019.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan