AM

Pulau Pinang akan mengalu-alukan pelaburan dalam hospital baharu

22/03/2019 10:30 PM

GEORGE TOWN, 22 Mac (Bernama) -- Sektor pelancongan perubatan Pulau Pinang akan menerima rangsangan susulan pelabur berpotensi merancang untuk melabur dalam hospital swasta baharu di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang pengumuman mengenainya namun pelaburan berjuta ringgit itu akan memberi kesan positif kepada industri tersebut.

“Kita berhasrat mempunyai hospital rawatan kanser baharu namun kita masih di peringkat awal perbincangan. Kita akan mengumumkan apabila semuanya telah dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi jalinan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perincian pelaburan itu, termasuk jumlah pelaburan.

Abdul Halim berkata kebanyakan hospital swasta di Pulau Pinang telah mencapai kapasiti maksimum, yang menunjukkan lonjakan pelancongan perubatan di negeri itu.

“Sebilangan besar hospital di Pulau Pinang sedang melaksanakan penambahan atau merancang untuk berkembang demi menampung sejumlah besar pesakit terutama dari Indonesia, dengan ketibaan harian boleh mencapai 1,300 orang.” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Batu Maung berkata kerajaan masih menunggu laporan kajian boleh laksana untuk menilai keperluan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim bernilai RM1.6 bilion.

“Kami akan mengumpulkan maklumat daripada peserta industri dan menunggu kajian mengenai projek itu dijalankan sebelum mengulas lanjut tentang rancangan tersebut," katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim di Kedah, yang akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hanya 40 minit perjalanan dari kawasan lapangan terbang yang dicadangkan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan