GEORGE TOWN, 22 Mac (Bernama) -- Jabatan Perikanan Pulau Pinang hari ini melepaskan 70 ekor anak penyu lipas yang berusia seminggu di pantai Gertak Sanggul dekat sini, bagi tujuan memelihara hidupan akuatik itu daripada pupus.
Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar berkata kesemua anak penyu lipas itu hasil daripada 104 biji telur penyu dijumpai pemilik sebuah restoran di pantai berkenaan pada 18 Jan lepas sebelum dieramkan di Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang, dekat sini.
"Kita lepaskan kesemua (70 anak) penyu ini, dan kita akan pastikan supaya kebarangkalian untuk ia kembali ke sini adalah besar dan kita harap supaya penyu-penyu ini pulang kembali untuk bertelur di pantai ini.
"Penyu lipas sudah dikategorikan sebagai spesis terancam, bermaksud sekiranya kita tidak pelihara penyu-penyu ini ia boleh menjadi pupus sepertimana berlaku di Rantau Abang, penyu belimbing sangat susah untuk naik semula," katanya kepada pemberita selepas program pelepasan anak penyu lipas itu.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan ADUN Batu Lancang Oh Ah Teong serta orang awam yang turut menyaksikan program pelepasan penyu lipas itu.
Ditanya mengenai baki 34 biji telur penyu lipas dijumpai itu, Noraisyah berkata ada peratusan telur yang tidak menjadi dan terdapat sebahagiannya berjaya dieramkan dan disimpan sementara untuk tujuan kajian sebelum anak penyu itu dilepaskan ke pantai.
Beliau berkata pada masa ini, Pulau Pinang menjadi lokasi bagi pendaratan penyu lipas di negara ini.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada Jabatan Perikanan sekiranya menjumpai telur penyu, penyu mahupun bangkainya untuk mengelak daripada ia diambil oleh mana-mana pihak bagi memastikan spesis itu tidak diancam kepupusan.
Noraisyah turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik restoran Hai Boey Seafood, Tan Tatt Ghee, 45, yang memaklumkan mengenai telur penyu lipas itu dan bersama-sama menjaganya.
Sementara itu, Azrul berkata program berkenaan boleh dijadikan sebagai aktiviti untuk mempromosi pantai Gertak Sanggul.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi notis dikeluarkan Jabatan Perikanan mengenai kaedah-kaedah perikanan (penyu dan telur penyu) dan segera melaporkan kepada jabatan itu di talian 04-6572777 sekiranya mendapati ada penyu mendarat, bertelur atau pun mati.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial