Wanita maut, teksi dinaiki bertembung tiga kenderaan [ 10m ago ]

K'jaan berharap tingkat pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui menerusi NEM

Tarikh kemaskini: 19/03/2019
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin
KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji langkah kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk mengurangkan bil elektrik dan pelepasan karbon dioksida dalam bangunan kerajaan, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) hari ini, Yeo berkata dengan memperkenalkan dasar baharu seperti program pemeteran tenaga bersih baharu (NEM), kerajaan berharap ia boleh menjadi pemangkin dan meningkatkan pertumbuhan RE di negara ini.

Program NEM ialah inisiatif solar fotovoltaik (PV) oleh MESTECC untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Di bawah program ini, tenaga yang dihasilkan daripada sistem solar PV yang dipasang akan digunakan terlebih dahulu dan sebarang lebihan dieksport kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) secara diimbangi ‘satu per satu’.

Skim ini adalah terpakai kepada semua sektor domestik, komersil, industri dan pertanian selagi mereka adalah pelanggan TNB.

Program ini telah menyaksikan pertumbuhan positif sejak pelancarannya pada Oktober tahun lepas dengan 38 megawatt (MW) yang diambil daripada 500 MW diperuntukkan untuk program ini, kata Yeo.

"Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam menjana tenaga solar menerusi sistem PV di atas bumbung.

"Terdapat 3.2 juta hartanah bertanah, 450,000 rumah kedai, 90,000 kilang teres, 21,000 kilang persendirian dan 1,000 kompleks perniagaan di Malaysia," katanya lagi.

Sehingga kini, SEDA telah meluluskan 17 permohonan pelabur solar sejak ia melaksanakan direktori pelabur solar PV pada Januari tahun ini.

NEM baharu ini juga telah berjaya menghasilkan peluang perniagaan tenaga boleh diperbaharui PV solar baharu yang turut melibatkan pajakan solar, pembelian elektrik solar melalui perjanjian pembelian tenaga (PPA) atau gabungan kedua-duanya.

Dalam pada itu, Yeo berkata satu pelan hala tuju baharu dikenali sebagai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Boleh Diperbaharui (RETR) 2035 kini sedang dibangunkan bagi meneroka strategi dan pelan tindakan untuk merealisasikan sasaran kerajaan mencapai 20 peratus RE dalam penggunaan tenaga campuran di seluruh negara menjelang 2025.

Hala tuju itu akan menilai manfaat kos dan keberkesanan mewujudkan pasaran REC mandatori.

Strategi itu termasuk perdagangan tenaga rakan setara iaitu pengguna solar boleh menjual elektrik lebihan mereka kepada pengguna lain, membolehkan mereka yang mempunyai kekangan di atas bumbung untuk turut menikmati skim NEM.

Ia juga termasuk menyediakan pilihan kepada para pengguna membeli 100 peratus RE daripada syarikat-syarikat utiliti tenaga.

--BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu