Projek Kuantan Rahmah 2020 fokus kitar semula minyak masak [ 9m ago ]

Bluprin e-sports siap dirangka April ini

Tarikh kemaskini: 19/03/2019
KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Bluprin mengenai pembangunan sukan elektronik (e-sports) di Malaysia akan siap dirangka pada April ini, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata bluprin tersebut memfokuskan kepada lima strategi utama iaitu pembangunan atlet untuk kecemerlangan sukan e-sports; menyokong pertumbuhan industri e-sports; akses kemudahan e-sports yang lebih baik bagi menarik pelabur; membina kesedaran awam dan mempromosikan permainan yang bertanggungjawab, dan menerapkan undang-undang serta tadbir urus yang baik antara industri e-sports.

“Kementerian melalui Majlis Sukan Negara (MSN) merangka bluprin sukan elektronik Malaysia yang pertama bagi membolehkan program e-sports di negara ini dirancang dan dijalankan secara berstruktur untuk pembangunan yang lebih holistik bermula daripada akar umbi hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) yang ingin tahu program dirangka kementerian dalam menarik golongan belia menceburi bidang e-sports agar selari dengan kehendak Industri Revolusi 4.0.

Syed Saddiq berkata jawatankuasa khas yang terlibat dalam merangka bluprin tersebut diwakili oleh penggiat aktif dalam e-sports selain tokoh-tokoh industri.

Selain itu, Syed Saddiq berkata kementerian dengan kerjasama Esports Malaysia (ESM) akan menganjurkan liga sukan elektronik bagi mengenal pasti ranking pemain mengikut jenis acara yang dipertandingkan.

ESM juga katanya menjalankan kejohanan e-sports di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa bagi memastikan lebih ramai golongan belia bergiat aktif dalam sukan elektronik itu.

Katanya, e-sports turut mewujudkan peluang kerjaya dan memberi kesan positif meningkatkan ekonomi negara dalam aspek teknologi dan pelancongan.

“Malaysia berada di tangga ke-21 dalam pasaran dunia e-sports dengan menjana RM2.3 bilion. Malah bulan lepas syarikat Razer iaitu syarikat terbesar e-sports telah menggajikan 280 anak muda di ibu pejabatnya di Malaysia yang baru dilancar,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mas Ermieyati mengenai platform latihan e-sports bagi pemuda di luar bandar memandangkan kekangan sistem jalur lebar, Syed Saddiq berkata pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pelabur swasta untuk membantu memperluas pembangunan sukan itu.

“Bulan ini kami akan mulakan sesi pemilihan atlet negara untuk e-sports dan kami ke seluruh pelusuk Malaysia untuk memastikan pemilihan ini lebih inklusif,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu