Seven cops held over robbery [ 6h ago ]

NGO cadang pihak bertanggungjawab tanggung kos pulihara sungai tercemar

Tarikh kemaskini: 14/03/2019
Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Sebuah badan bukan kerajaan, The Global Environment Center (GEC), menggesa kerajaan terutama Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memastikan pihak-pihak yang bertanggungjawab mencemari sungai di negara ini dengan sisa bahan kimia atau bahan toksik, menanggung kos pemuliharaan sungai tersebut selain membayar kos rawatan mangsa yang terjejas kesihatan mereka akibat pencemaran itu.

Pengurus GEC Dr Kalithasan Kailasam berkata pihaknya telah mengkritik tindakan beberapa pihak yang mencemari sungai dengan membuang bahan toksik berbahaya ke dalamnya dan mereka sepatutnya dihukum.

"Mereka yang didapati bersalah harus dipertanggungjawabkan membayar segala kos pemuliharaan sungai dan kos rawatan mereka yang kesihatan mereka terjejas akibat tindakan mereka (mencemari sungai) dan dikenakan hukuman setimpal.

GEC mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mencemari sungai termasuk tindakan membuang bahan toksik ke dalam sungai sama ada secara haram, tidak dirawat atau separuh dirawat dan kerajaan wajib mengenakan tindakan terhadap pesalah mengikut undang-undang sedia ada (seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekitar 1974),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan Bernama hari ini mengenai 111 sekolah di Pasir Gudang, Johor yang diarah tutup oleh Kementerian Pendidikan berikutan pencemaran yang terjadi sejak Khamis lepas dipercayai akibat pembuangan sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim.

Setakat hari ini, lebih 900 orang telah menerima rawatan di klinik-klinik setempat dan Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana mengadu sesak nafas, pening dan muntah-muntah.

Kalithasan berkata GEC telah melobi masyarakat selama lebih 10 tahun agar menjadi mata dan telinga negara dalam menangani isu berkenaan.

"Masyarakat boleh bertindak dengan melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui kad laporan sungai atau melaporkan kepada GEC menerusi aplikasi mudah alih 'River Of Life (ROL) Citizen's Eye'.

"Masyarakat dan pemegang taruh juga boleh mewujudkan kumpulan khas seperti Renjer Sungai atau Sahabat Sungai untuk menjadi mata dan telinga kerajaan untuk memantau kebersihan sungai," kata beliau.

Sementara itu, pengasas EcoKnights Yasmin Rashid berkata rakyat boleh menggunakan platform e-Aduan oleh JAS untuk melaporkan apa-apa salah laku kilang-kilang yang membuang sisa toksik mereka ke dalam sungai-sungai setempat.

"The e-Aduan adalah satu inisiatif yang diwujudkan untuk membolehkan orang ramai untuk berhubung dengan JAS mengenai aduan pencemaran pada bila-bila masa tanpa batas waktu dan jarak.

“Adalah amat menyedihkan melihat kerajaan kita membelanjakan wang yang banyak untuk mewujudkan platform ini tetapi orang ramai tidak menggunakannya secara kerap untuk melaporkan isu-isu sungai," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata terdapat banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga pemeliharaan dan memuliharaan alam semula jadi, di mana ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka dengan menyertai kegiatan yang dianjurkan oleh NGO berkenaan untuk memupuk perasaan sayang kepada alam sekitar sejak kecil.

Terdapat banyak NGO di negara ini yang memfokus kepada penjagaan alam sekitar, sebagai contoh EcoKnights mempunyai program Jelajah Sungai (River Explorer) yang diadakan pada setiap cuti sekolah, dan kami berharap ibu bapa dapat mendidik anak-anak dengan menghantar mereka menyertai program seumpama itu untuk mendidik mereka agar mencintai bumi,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu