KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Empat individu dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar dan Kangar pada hari Khamis selepas didakwa mengendalikan aktiviti penukaran wang tanpa lesen.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, mereka telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA), yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA.
"Dua daripada tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee Boon Kian telah dikenakan denda sebanyak RM60,000 (penjara 12 bulan jika gagal membayar) untuk kesalahan di bawah Seksyen 4(1) MSBA dan didenda RM30,000 (atau enam bulan penjara jika gagal membuat bayaran) kerana menggunakan perkataan "perniagaan perkhidmatan wang" tanpa kebenaran, ia merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 23(1) MSBA.
Sementara itu, Lee Ai Choo didenda sebanyak RM60,000 (penjara 12 bulan jika gagal membayar denda).
Di mahkamah sama, tertuduh yang lain, Kok Eng Huat, menuntut perbicaraan dan mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan satu penjamin dan seterusnya menetapkan tarikh sebutan pada 28 Mac 2019.
Di Mahkamah Sesyen Kangar, Chin Foh Lean menuntut dibicarakan dan diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan kes beliau akan disebut semula pada 9 April 2019.
"Mata wang asing yang ditemui di premis (tertuduh) turut dirampas bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," kata BNM.
Premis yang dikendalikan oleh individu-individu tersebut terletak di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar, Perlis diserbu pada 3 Mac dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.
"Serbuan ini merupakan sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan secara berterusan yang dijalankan oleh BNM bagi melindungi orang ramai daripada potensi kerugian kewangan apabila berurusan dengan entiti-entiti yang tidak berlesen.
"Oleh itu, orang ramai dinasihati untuk tidak berurusan atau melakukan apa-apa urus niaga penukaran wang atau pengiriman wang dengan pengusaha perniagaan perkhidmatan wang haram dan ejen-ejen mereka.
"Mana-mana orang yang menjalankan urus niaga dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram melakukannya dengan risiko sendiri dan tindakan undang-undang yang sewajarnya boleh diambil terhadapnya oleh pihak berkuasa berkenaan," katanya.
Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada senarai pengusaha perniagaan perkhidmatan wang berlesen di laman web BNM (www.bnm.gov.my).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial