Batu Pahat maritime foils attempt to smuggle contraband cigarettes [ 31m ago ]

Sabah minat jalin kerjasama dengan WIEF untuk tingkatkan pelaburan

Tarikh kemaskini: 07/03/2019
Sabah
KOTA KINABALU, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah berminat untuk menjalin kerjasama dengan Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) untuk meningkatkan pelaburan di negeri itu dan mengembangkan rangkaian perniagaan globalnya.

Pengerusi WIEF Tun Musa Hitam berkata hasrat itu telah diutarakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri itu di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri melihat hubungan baik WIEF dengan komuniti perniagaan dan pelaburan dari seluruh dunia sebagai satu kelebihan yang dapat meningkatkan perdagangan dan pembangunan ekonomi Sabah.

"Dia (Mohd Shafie) nampaknya sangat berminat untuk berkerjasama dengan WIEF,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu.

Musa berkata Sabah mempunyai banyak sumber yang boleh digunakan untuk menarik pelabur, dan WIEF bersedia untuk membantu kerajaan negeri menjalinkan hubungan dengan komuniti perniagaan dan pelaburan di seluruh dunia.

WIEF ialah sebuah organisasi yang bermatlamat meningkatkan kesejahteraan ekonomi negara-negara Islam dengan menggalakkan peluang perdagangan dan perniagaan, bukan sahaja dalam kalangan mereka bahkan di seluruh dunia melalui penganjuran forum dan persidangan di seluruh dunia.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu