AM

Pemandu Grab akan dilengkapi Nur Alert, kesan kanak-kanak hilang

01/03/2019 05:35 PM

PETALING JAYA, 1 Mac (Bernama) -- Syarikat e-panggilan, Grab Malaysia hari ini melancarkan kempen  #SaferEveryday dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia bagi membantu usaha masyarakat membanteras jenayah berkaitan kanak-kanak khususnya kes kanak-kanak hilang.

Pengarah Negara Grab Malaysia Sean Goh berkata menerusi kerjasama itu, pemandu Grab di 35 bandar raya akan menerima sistem amaran kanak-kanak hilang NUR Alert.

“Pihak berkuasa sudah lakukan yang terbaik namun kuasa untuk membolehkan ratusan ribu rakyat Malaysia saling melindungi  serta berkongsi maklumat dan bekerja bersama bagi  memastikan keselamatan semua… itu adalah kunci sebenar dalam membantu kita melangkah sebagai sebuah negara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran  kempen #SaferEeveryday, di sini.

Selain berkongsi NUR Alert menerusi rangkaian kerja pemandu-rakan kongsi, Grab juga akan meneroka penambahbaikan seterusnya bagi membangunkan cara baharu untuk menimbulkan kesedaran tentang NUR Alert dalam kalangan penumpang serta masyarat lebih luas, katanya. 

Sistem NUR Alert merupakan inisiatif kebangsaan yang membantu menyebarluaskan maklumat berkaitan kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah secepat mungkin.

Kempen #SaferEeveryday itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh. Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Salehhudin Abd Rahman.

Sementara itu, Yeoh berkata kerjasama tersebut merupakan langkah yang baik dalam melindungi kanak-kanak di Malaysia yang terdedah kepada pelbagai jenayah.

Katanya Grab merupakan rakan kongsi strategik NUR Alert ke-39  dan berharap kerjasama itu akan menyumbang ke arah penyelesaian lebih pantas dalam kes kanak-kanak hilang.

Pada majlis itu Yeoh turut mengumumkan  peruntukan RM50,000  bagi memperkasa Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peruntukan itu katanya diharapkan dapat membantu melancarkan siasatan dan menyelesaikan kes dengan segera selain meningkatkan sistem NUR Alert. 

"Saya percaya D11 memerlukan teknologi terkini untuk menyiasat kes dan memerlukan peralatan yang sesuai bagi melancarkan siasatan," katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan