KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Rakyat Selangor mempunyai medium terbaharu untuk berkomunikasi terus dengan Menteri Besar mereka, Amirudin Shari, iaitu menggunakan e-mel di alamat warkahuntukmbselangor.com.
Amirudin dalam satu kenyataan berkata rakyat Selangor boleh menggunakan medium terbaharu itu untuk mengemukakan penghargaan, pandangan, cadangan aduan dan kritikan, yang menurut beliau dijamin akan sampai ke pengetahuannya.
“Kalau kita ada hajat atau ada masalah yang memerlukan tindakan kerajaan negeri, kita sekadar mengeluh dan mengadu kepada kawan-kawan di pejabat atau di kedai kopi. Itu tak selesaikan masalah. Justeru, hantar e-mel kepada saya, insya-Allah, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Amiruddin turut mengumumkan pelancaran Briged Warkah yang akan memberi penerangan berkaitan kisah kejayaan kes yang diselesaikan menerusi laman web warkahuntukmbselangor.com.
“Briged warkah juga akan turun padang untuk siasat kes-kes yang diadukan menerusi laman web ini. Mereka juga akan kelolakan dialog untuk kumpul input daripada akar umbi serta menghantar e-mel berkaitan saranan yang diterima daripada peserta dialog,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial