RUU lindungi penyumbang Food Bank akan dibentang di Parlimen - Saifuddin [ 2m ago ]

Untung bersih BAT susut kepada RM468.5 juta pada tahun kewangan 2018

Tarikh kemaskini: 21/02/2019
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) – Keuntungan bersih British American Tobacco (M) Bhd (BAT) melonjak 44 peratus tahun ke tahun kepada RM116.37 juta pada suku keempat, tetapi tidak mencukupi untuk memberi syarikat sebarang pertumbuhan bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Dis, 2018.

Keuntungan bersihnya bagi tahun kewangan 2018 susut lima peratus kepada RM468.53 juta dan perolehan merosot 3 peratus kepada RM2.82 bilion disebabkan penguncupan pasaran rokok yang sah, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan harga sebanyak 40 sen setiap satu pada 2 Nov susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

BAT berkata perdagangan rokok haram yang tinggi memberi impak yang lebih tinggi ke atas jumlah dagangannya berbanding jumlah dagangan rokok yang sah. Jumlah dagangannya merosot sebanyak 4.6 peratus pada tahun lepas manakala industri susut 3.5 peratus.

Syarikat berkata keadaan itu disebabkan faktor geografi, kemampuan dan kekangan perbelanjaan modal peruncit.

Mengenai prospeknya, BAT berkata kumpulan bimbang dengan jumlah dagangan rokok yang sah yang terus menerima kesan daripada perdagangan rokok haram.

“Bagaimanapun, BAT amat gembira dengan penguatkuasaan yang semakin meningkat dan berharap ia akan dipergiatkan pada bulan-bulan akan datang.

“Prospek bagi 2019 amat bergantung kepada pemulihan pasaran rokok yang sah,” katanya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu