Liga Arab selar pengumuman AS berkaitan isu petempatan Israel di Tebing Barat [ 53s ago ]

Pembinaan jalan pintas Lebuh Raya Air Itam-Tun Dr Lim Chong Eu bermula 31 Ogos - Chow

Tarikh kemaskini: 21/02/2019
Pulau Pinang
GEORGE TOWN, 20 Feb (Bernama) -- Pembinaan jalan pintas Lebuh Raya Air Itam-Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7 km yang menjadi sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang (PTMP) akan bermula pada 31 Ogos tahun ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pembinaan jalan pintas itu akan menandakan bermulanya pelan infrastruktur pengangkutan yang komprehensif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah meluluskan satu daripada pakej di bawah PTMP yang akan dilaksanakan oleh pemajunya, SRS Consortium dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

"Ini pasti akan merangsang sektor pembinaan dan menyediakan banyak peluang bagi syarikat-syarikat di Pulau Pinang yang terlibat dalam industri bangunan dan pembinaan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Pemaju Hartanah & Perumahan (REHDA) Malaysia cawangan Pulau Pinang di sini malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, yang turut berucap berkata kerajaan negeri bersetuju dengan permintaan REHDA untuk melanjutkan tempoh pengecualian levi sebanyak tiga peratus ke atas hartanah yang dibeli oleh warga asing di negeri ini sehingga akhir Jun tahun ini.

Pada mulanya, tarikh akhir untuk pengecualian yuran kelulusan yang dikenakan ialah sehingga 28 Feb, tetapi kebanyakan pembeli warga asing dikatakan tidak dapat menikmati faedah kerana jangka masa itu dianggap terlalu pendek.

“Kerajaan negeri telah mengkaji permintaan REHDA Pulau Pinang dan kami bersetuju untuk melanjutkan tempoh itu hingga akhir Jun, sejajar dengan kempen pemilikan rumah yang dilancarkan oleh kerajaan persekutuan," katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu