DUNIA

Thailand: Tubuh jawatankuasa siasat pencalonan Puteri Ubolratana

12/02/2019 07:25 PM

BANGKOK, 12 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand bercadang menubuhkan sebuah jawatankuasa ad hoc untuk menyiasat salah laku sebuah parti politik yang menamakan Puteri Ubolratana Mahidol sebagai calon merebut jawatan perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang.

Jawatankuasa itu mungkin akan dianggotai beberapa orang termasuk pihak luar.

Suruhanjaya Pilihan Raya tidak menyenaraikan nama Ubolratana sebagai calon bertanding dalam pilihan raya yang dijadual pada 24 Mac, lapor agensi berita Xinhua memetik pegawai suruhanjaya pada Selasa.

Saudara perempuan Raja Vajiralongkorn itu tidak disenaraikan berdasarkan Perintah Diraja yang mengatakan pencalonan "tidak sesuai" kerana keluarga diraja sepatutnya bersikap berkecuali. 

Ubolratana menerusi kenyataan dalam talian berkata beliau menerima pencalonan kontroversi itu sebagai seorang rakyat biasa yang mempunyai hak dan kebebasan untuk terbabit dalam politik seperti dibenarkan perlembagaan.

Meskipun Ubolratana telah melepaskan gelarannya sejak 1972, beliau masih dianggap kerabat diraja seumur hidup,  kata pegawai istana.

Sementara itu, ketua Thai Raksa Chart, Preechaphol Pongpanit enggan memberi komen sama ada hasil siasatan jawatankuasa terbabit akan dipanjangkan ke Mahkamah Perlembagaan, yang mungkin membawa kepada pembubaran parti dan semua ahli lembaga eksekutifnya dilarang terbabit dalam politik pada masa depan.

Beliau yakin kedudukan parti itu tidak akan terjejas dan kempen untuk kerusi parlimen tetap diteruskan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan