Forum bincang peranan kewangan Islam dalam pembangunan lestari [ 14m ago ]

Bina komuniti selamat, tekankan penggunaan 'Nur Alert'

Tarikh kemaskini: 12/02/2019
KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Konsep ‘komuniti selamat’ perlu diwujudkan bagi melibatkan kesemua peringkat masyarakat memainkan peranan mereka untuk membanteras jenayah terutamanya yang membabitkan kanak-kanak, kata Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanatha berkata terdapat keperluan mendesak untuk mengukuhkan kerjasama antara Rukun Tetangga, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi berkaitan bagi memastikan respons bersepadu terhadap jenayah kanak-kanak.

Masyarakat juga perlu menekankan kepentingan penggunaan perkhidmatan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak (NUR Alert) di talian 15999 sekiranya berhadapan kecemasan, kata Sumitra.

“Orang ramai seakan terlupa kepentingan perkhidmatan Nur Alert, yang mana perkhidmatan itu patut digunakan kepada semua kanak-kanak yang memerlukan, tanpa mengira taraf kerakyatan. Tindakan menafikan perlindungan ke atas kanak-kanak berdasarkan dokumen adalah satu bentuk diskriminasi, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pembunuhan kejam Siti Masitah Ibrahim, 11, berketurunan Kemboja di mana mayatnya yang hampir reput ditemukan di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, Sabtu lepas.

Pandangan Sumitra juga dikongsi Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Wanita Isma), Dr Norsaleha Mohd Saleh yang mencadangkan supaya kanak-kanak dibenarkan membawa telefon bimbit dan semburan pemedih mata ketika berada di luar.

“Keseluruhannya kita perlu kembali kepada ajaran asas Islam, supaya tidak membiarkan anak-anak kita untuk keluar seorang diri, terutamanya kanak-kanak perempuan, perlu ada seseorang menemani mereka jika mereka ingin ke kedai,” kata beliau.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu