AM

PDRM BELUM PUTUSKAN UNTUK MANSUH DISKAUN SAMAN TRAFIK - KPN

04/02/2019 09:12 PM

SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum memutuskan untuk memansuhkan tawaran diskaun ke atas bayaran saman trafik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan mendapatkan butiran  lengkap  mengenai tawaran diskaun ke atas saman trafik dan merujuknya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu sebelum memberi sebarang kata putus.

Beliau berkata pemberian diskaun itu bertujuan meringankan beban bayaran saman yang dikumpul pesalah trafik, menggalakkan mereka melunaskannya selain merapatkan hubungan dengan masyarakat.

"​​​​​​Bukan selalu kita beri diskaun (saman trafik). Ada kesalahan tertentu yang sudah terlampau banyak jumlah samannya. Malah, kontinjen juga tidak boleh beri diskaun sewenang-wenangnya dan perlu mendapat kebenaran Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman terlebih dahulu.

Pemberian diskaun (saman trafik) yang kita laksanakan itu nampaknya dialu-alukan oleh masyarakat dan (melalui diskaun saman) kita beri ruang kepada pesalah trafik untuk selesaikan saman mereka supaya polis tidak perlu mengeluarkan waran tangkap,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah  Terima Tugas Ketua Polis Selangor yang baharu, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini bahawa dasar tidak memberikan sebarang diskaun ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas akan dikekalkan.

Selain daripada itu, Loke berkata beliau juga bercadang untuk berbincang dengan KDN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak diberikan sebarang diskaun.

Kata Mohamad Fuzi, PDRM juga tidak akan bertolak ansur mahupun menawarkan sebarang diskaun  kepada pesalah trafik sepanjang musim perayaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata polis mungkin mempertimbangkan untuk memberi ganjaran kepada mana-mana pihak yang dapat membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

“(Pemberian ganjaran) kita bergantung kepada keadaan kerana kita kena sediakan ganjaran sama ada wang ataupun hadiah. Kalau ada keperluan nanti, kita akan pertimbangkan.

Pelbagai usaha telah dibuat untuk mengesan Jho Low yang bukan saja dilakukan oleh polis. Jika ada pihak tertentu yang bercadang untuk memberikan insentif (bagi mengesan Jho Low), kita alu-alukan," katanya  yang menyifatkan langkah itu mungkin mempercepatkan proses memburu ahli perniagaan berkenaan.

Ditanya mengenai jaminan keselamatan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bermula 16 Feb ini bagi proses penamaan calon, Mohamad Fuzi yakin ia akan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, persiapan keselamatan sedang dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan beliau menyarankan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan keselamatan sepanjang PRK itu supaya segera menyalurkan terus kepada polis.

Terdahulu, pada majlis itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin menerima tugas sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan