KUALA PILAH, 14 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memeriksa kawalan kehormatan sempena Hari Keputeraan baginda ke-71 di sini, hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu ialah kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin.
Terdahulu, baginda dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud tiba di Padang Besar Seri Menanti di sini pada kira-kira 8.40 pagi disambut Menteri Besar Aminuddin Harun.
Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Zulkefly Mohamad Omar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dr Razali Ab Malik.
Acara dimulakan dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan dengan iringan Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.
Tuanku Muhriz kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai daripada 71 Regimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat, Kem Perdana Sungai Besi yang diketuai Mejar Zahrul Izwady Zahudin.
Turut diadakan persembahan kawat senyap daripada gabungan 1 Briged yang terdiri daripada 222 anggota dan empat pegawai.
Istiadat Kawalan Kehormatan itu berakhir pada 9.30 pagi, sebelum baginda berangkat meninggalkan majlis.
Menteri Besar Aminuddin Harun mengetuai senarai 340 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan bersempena ulang tahun ke-71 keputeraan Tuanku Muhriz.
Aminuddin menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Selain Aminuddin, turut menerima darjah SSNS ialah Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Datuk Abdul Hamid Bador.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial