AM

Belum ada keputusan hadkan lorong kiri untuk motosikal - Loke

13/01/2019 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai pelaksanaan menghadkan lorong kiri jalan raya khusus bagi motosikal kapcai sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan pengguna kenderaan itu.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata pihaknya mengambil maklum akan cadangan itu, namun ia perlu dikaji.

“Jika kita nak kurangkan kadar kemalangan maut sudah semestinya kita kena kurangkan kadar kemalangan motosikal… jadi apa apa cadangan kita terbuka untuk melihatnya.

“Kita tidak boleh meletakkan satu tempoh muktamad untuk ia dilaksanakan, daripada segi undang-undang kita boleh sahaja bersetuju dengan cadangan itu namun yang paling penting bagaimana cara kita boleh menguatkuasakannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Beliau mengulas langkah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mengkaji cadangan tersebut  seperti dilaporkan akhbar hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil maklum akan aspek penguatkuasaan lemah yang mendorong kepada peningkatan statistik kemalangan lalu lintas, justeru langkah penguatkuasaan serta peraturan sedia ada akan diperketatkan lagi.

Statistik JKJR 2018 menunjukkan lebih 60 peratus daripada 6,742 kes kemalangan maut lalu lintas membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Sebuah kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai Safety First turut menggesa agar dilaksana  cadangan tersebut.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan