KPLB Sabah laksana kursus pengurusan dan pentadbiran MPKK [ 6m ago ]

Uranus teruskan saingan dalam RLIR, pesaing jadi penyelamat

Tarikh kemaskini: 09/01/2019
LANGKAWI, 9 Jan (Bernama) -- Pasukan tempatan, 'Uranus' yang berhadapan masalah kerosakan peralatan pada hari pertama Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019, semalam, dapat meneruskan saingan hari ini selepas mendapat bantuan daripada pesaingnya.

Diketuai jurumudi Mohd Masyuri Rahmat, pasukan itu sebelum ini hampir berputus asa untuk meneruskan saingan dalam kejohanan itu ekoran kesukaran untuk mendapatkan alat ganti untuk kapal layar mereka.

Mohd Masyuri berkata, bagaimana pun pesaing dalam kategori Racing iaitu ‘Team Hollywood’ bermurah hati menawarkan alat ganti yang mereka ada sekali gus membolehkan Uranus menyertai perlumbaan ketiga, keempat dan kelima dalam kategori itu hari ini.

"Kalau nak tunggu alat ganti lain, paling dekat adalah dari Phuket, Thailand. Semalam, memang kami hampir putus asa tetapi pasukan 'Team Hollywood' telah datang menawarkan alat ganti yang kami perlukan dan membolehkan untuk kami terus bersaing pada hari ini.

"Walaupun berada di kedudukan terakhir semalam, kami cuba tebus dan buat yang terbaik hari ini dan berjaya berada di kedudukan ketiga pada perlumbaan ketiga dan perlumbaan kelima.

“Bagaimana pun, dalam perlumbaan keempat kami tidak dapat menamatkan perlumbaan, namun kami tetap bersemangat,” katanya kepada pemberita di Kelab Pelayaran Diraja Langkawi (RLYC) di sini, hari ini.

Mengenai perlumbaan hari ini, Mohd Masyuri berkata kelajuan angin antara 12 hingga 14 knot banyak membantu pasukannya, namun keadaan laut yang lebih bergelora berbanding semalam memberi sedikit cabaran.

Katanya, misi pasukannya kini adalah untuk mengekalkan momentum dalam saingan itu supaya dapat menamatkan perlumbaan seterusnya di tempat kedua atau ketiga yang akan membolehkan Uranus berada di kedudukan ketiga secara keseluruhan apabila kejohanan itu berakhir Sabtu ini.

"Kita akan cuba rapatkan kedudukan dan pencabar utama kita sekarang adalah satu lagi pasukan Malaysia iaitu 'SCS Janda Baik' yang mempunyai reka bentuk bot yang hampir sama dengan kita.

“Kalau dapat habiskan perlumbaan esok di tempat kedua atau ketiga mungkin kedudukan kita boleh naik, tetapi perkara yang paling penting ialah kami tidak akan berputus asa," katanya.

Kejohanan yang memasuki hari kedua hari ini menyaksikan pasukan Team Hollywood dari Australia kekal di tempat pertama kategori Racing selepas mengutip empat mata penalti daripada lima perlumbaan mengatasi pasukan 'THA72' dari Thailand di tempat kedua yang mendapat lapan mata penalti.

Tiga tiga pasukan Malaysia yang turut bersaing dalam kategori itu iaitu SCS Janda Baik yang memungut 14 mata penalti, Zuhal (15 mata penalti) dan Uranus (17 mata penalti) masing-masing berada di kedudukan ketiga, keempat dan terkahir.

Sebanyak 35 kapal layar dari Malaysia, Australia, Rusia, Jepun, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom bersaing dalam RLIR tahun ini, yang bermula semalam hingga 12 Jan.

Kejohanan kapal layar RLIR 2019 yang dianjurkan RLYC berlangsung selama lima hari dengan tujuh kategori iaitu Kelas Racing, Kelas IRC 1, Kelas IRC 2, Kelas Sportboat, Kelas Cruising, Kelas Multihull dan Kelas White Sail.

-- BERNAMA







BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu