35 pasukan sahkan penyertaan RLIR 2019 yang bermula esok

Tarikh kemaskini: 07/01/2019
LANGKAWI, 7 Jan (Bernama) -- Sebanyak 35 pasukan tempatan dan luar negara mengesahkan penyertaan untuk Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019 yang akan bermula esok hingga 12 Jan ini.

Pengurus Besar Royal Langkawi Yacht Club (RLYC), Tayfun Koksal berkata selain Malaysia, tujuh lagi negara akan bertanding dalam perlumbaan kapal layar tersebut iaitu Australia, Rusia, Jepun, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Ia satu penghormatan untuk melihat 35 penyertaan tahun ini iaitu meningkat sebanyak 34 peratus berbanding RLIR 2018 dan ini menunjukkan peningkatan yang bagus.

"Saya jangkakan persaingan sengit dalam semua kategori tetapi paling ditunggu ialah bagi Kelas Racing yang bakal menyaksikan juara bertahan dua tahun berturut iaitu pasukan THA72 dari Thailand bersaing bersama tiga pasukan dari Malaysia dan satu pasukan dari Australia dalam kategori tersebut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya semua pasukan juga telah memulakan sesi latihan hari ini dan keadaan angin serta cuaca di pulau peranginan itu dijangka baik sepanjang kejohanan.

RLIR 2019 yang dianjurkan RLYC akan berlangsung selama lima hari dengan tujuh kategori iaitu Kelas Racing, Kelas IRC 1, Kelas IRC 2, Kelas Sportboat, Kelas Cruising, Kelas Multihull dan Kelas White Sail.
.....

       Berita Utama Terdahulu